PPV Industri di SCCC mula operasi, kapasiti suntikan 25,000 babitkan pekerja sektor binaan

SEBERANG JAYA – Pengoperasian Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Industri di Sunway Carnival Convention Centre (SCCC) dekat sini yang bermula hari ini mampu menampung kapasiti suntikan sehingga 25,000 pekerja sektor pembinaan.

 

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, beliau menyambut baik usaha yang dilakukan melalui Program Vaksin Industri Pembinaan (CIVac) sambil menyifatkan sektor pembinaan merupakan sektor kritikal yang memerlukan vaksin segera.

 

“Pertamanya, sektor pembinaan ini adalah industri yang akan memacu ekonomi dalam keadaan pasca COVID-19 atau apabila kita melangkah ke Fasa 3 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

 

“Oleh itu, kita perlu pastikan pekerja-pekerja sektor pembinaan ini dapat divaksin segera supaya mereka boleh teruskan bekerja kelak.

 

“Keduanya, umum pun tahu bahawa sektor pembinaan ini adalah sektor yang banyak kes, kluster, jadi amat penting dan perlu diberi perhatian sewajarnya (bagi mengelak berlakunya penularan baharu),” ujarnya sejurus mengadakan melawat ke PPV Industri di sini pada 12 Ogos 2021. 

Hadir sama, Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Ir. Ahmad ‘Asri Abdul Hamid; Pengarah CIDB Pulau Pinang, Zahidi Hashim dan Presiden Persatuan Pembina Pulau Pinang, Datuk Lim Chee Tong.

 

Mengulas lanjut Zairil memaklumkan bahawa pemberian suntikan vaksin di PPV Industri ini turut melibatkan pekerja-pekerja sektor pembinaan dari Kedah dan Perlis.

 

“PPV Industri ini merupakan pusat pemberian vaksin bagi Wilayah Utara,” katanya. 

 

Dalam pada itu, Ahmad ‘Asri ketika bercakap kepada pemberita menyatakan bahawa Pulau Pinang dan Johor menjadi lokasi pertama pengoperasi PPV Industri di luar Lembah Klang.

 

“Pada asalnya cuma dibuka kepada 22,000 pekerja sektor binaan untuk Wilayah Utara namun kita mohon peruntukan yang lebih daripada Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) menjadikan jumlah keseluruhan yang mampu ditampung oleh PPV ini ialah 25,000 pekerja. 

 

“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menyokong Program CIVac ini dan diselaraskan oleh CIDB dalam memacu semula sektor pembinaan di Wilayah Utara ini,” jelasnya.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR