PPV jumpa terus terima sambutan luar jangkaan

PANTAI JEREJAK – Pengurus Pusat Pemberian Vaksin (PPV) SPICE Arena, Dr. Norhashimah Ismail menyatakan bahawa hari pertama pelaksanaan kaedah jumpa terus (walk-in) di sini sejak pagi tadi menerima sambutan luar jangkaan.

 

Menurutnya lagi, pada hari ini sebanyak 500 hingga 600 dos diperuntukan khusus kepada warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas pada hari ini.

“Sambutan pada hari ini (pertama) di luar jangkaan, sehingga pagi tadi, kira-kira 160 warga emas yang hadir.

 

“Kita tidak jangka seramai itu, namun jika keperluan bertambah kita akan tambah dos vaksin berdasarkan permintaan dan kehadiran orang ramai.


“Antara masalah timbul pagi tadi kerana ada anak-anak yang ‘tinggalkan’ ibu atau bapa mereka tanpa menguruskan mereka, tiada aplikasi MySejahtera dan sebagainya.

 

“Perkara-perkara seperti ini yang membuatkan pengurusan pendaftaran sedikit lambat kerana waris warga emas ini tiada di sisi mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pagi ini.

 

Bagaimanapun, beliau memberitahu bahawa masalah tersebut dapat diatasi dengan baik oleh para petugas.


YUSUF ISMAIL, 72, dari Jelutong yang hadir secara jumpa terus memaklumkan bahawa beliau juga ada membuat pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera baru-baru ini.


“Selepas dimaklumkan buka ‘walk-in’ pak cik datanglah ke sini supaya lebih cepat menerima suntikan vaksin COVID-19 ini,” ujarnya yang hadir bersama-sama isterinya.

Pasangan adik beradik ZAUYAH DIN, 64 dan kakaknya, HABSAH DIN, 71, turut hadir ke SPICE setelah temu janji suntikan sebelum ini tidak dapat disempurnakan.

“Sebelum ini kami sudah dipanggil untuk cucuk (vaksin) tetapi masa hari ke klinik kesihatan, darah tinggi naik, jadi doktor tidak bagi kebenaran untuk suntik,” maklum Habsah yang tinggal di Sungai Ara.

LIN BEE LENG, 61, dalam pada itu memberitahu bahawa beliau tidak mahu melepaskan peluang menerima suntikan pertama pada hari ini setelah berlaku ‘kesilapan’ dalam temu janji lalu.


“Hari itu saya dapat temu janji di Nibong Tebal sedangkan saya tinggal di Taman Pekaka, Sungai Dua (pulau), masa itu bulan Julai (2021).

 

“Bersyukur hari ini sudah dapat suntik (Pfizer), proses pun tidak lama, satu jam sudah selesai,” jelas  Bee Leng yang ditemani anaknya.

Berkongsi cerita hampir sama, M. CHELLAMAH, 61 memberitahu bahawa beliau sebelum ini ‘terpaksa menolak’ untuk menerima suntikan vaksin kerana bergejala.

 

“Nasib kurang baik, hari ini saya dapat temujanji vaksin, esok saya didapati positif. Jadi terpaksa batalkan tawaran tersebut.


“Apabila tahu ada pembukaan PPV secara (jumpa) terus, saya ambil keputusan untuk datang.

 

“Perasaan bercampur-campur, seronok, takut; semua ada kerana saya menghidap kencing manis,” tambahnya.

 


Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD