PPV khas kedua ‘economic frontliners’ beroperasi

Admin

PANTAI JEREJAK – Hotel Equatorial Pulau Pinang (Hotel Equatorial) beroperasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi sektor industri dan perniagaan bermula hari ini dengan kemampuan kapasiti sehingga 1,500 dos sehari.

Setelah hampir empat bulan Hotel Equatorial ditamatkan operasi, kini ia dihidupkan semula sebagai PPV bagi membolehkan lebih ramai pekerja barisan hadapan di sektor ekonomi iaitu industri dapat divaksin sepenuhnya.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa Hotel Equatorial adalah hotel pertama dalam negara membabitkan sektor perhotelan yang ditukarkan menjadi PPV, dan ia merupakan PPV khas bagi sektor industri kedua yang beroperasi di Pulau Pinang.

“Ini (PPV Hotel Equatorial) merupakan yang kedua untuk ‘economic frontliners’ selain PPV Bukit Jawi Golf Resort yang beroperasi dengan kapasiti 1,000 dos sehari kini.

“Dengan kemampuan kapasiti suntikan 1,500 dos sehari di PPV Hotel Equatorial, ia sudah pastinya akan membantu Pulau Pinang mencapai sasaran imuniti kelompok pada Oktober tahun ini.

“Serentak itu, kita (Pulau Pinang) masih menunggu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk meluluskan baki permohonan PPV untuk sektor industri di negeri ini,” ujarnya sejurus mengadakan lawatan bagi meninjau perjalanan pengoperasian PPV Hotel Equatorial di sini tadi.

Difahamkan, selain PPV lapangan di syarikat multinasional Intel, Jabil, Plexus dan Inari, terdapat hampir 10 lagi PPV sektor industri yang masih menunggu kelulusan kementerian-kementerian bertanggungjawab.

Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; Teh Lai Heng (Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri); Dato’ Abdul Razak Jaafar (Setiausaha Kerajaan Negeri); Alan Ong (Pengurus Besar Hotel Equatorial) dan Dr. Paramjit Singh (Presiden Penang Medical Practitioners Society).

Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi sebelum itu ketika melawat PPV Hospital Swasta (PPVHS) di Optimax Eye Specialist, Jalan Masjid Negeri berharap bekalan vaksin akan tiba secepat mungkin dalam memastikan semua PPV di negeri ini dapat beroperasi pada kapasiti penuh.

Menurut beliau, melalui mesyuarat Sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi memaklumkan bahawa perolehan vaksin di setiap negeri akan bertambah dua kali ganda pada Julai ini.

“Bekalan vaksin ini adalah sangat penting bagi membolehkan PPV beroperasi pada tahap ‘penuh’, di Pulau Pinang juga, kita mempunyai keupayaan untuk memberi vaksin sebanyak 26,000 dos sehari.

“Tetapi memandangkan kita masih menunggu ‘lampu hijau’ iaitu bekalan vaksin, maka masih ada PPV di negeri ini yang belum boleh memulakan operasinya,” ulasnya yang turut berharap bekalan vaksin dapat dipertingkatkan untuk semua PPV di negeri ini demi mencapai sasaran harian ditetapkan.

Hadir sama, Pengurus Besar Optimax Holdings Berhad, Tan Sri Tan Boon Hock.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan status Pulau Pinang bergerak ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri kelmarin, Kon Yeow menyatakan bahawa ia adalah bergantung kepada Sidang MKN yang akan diadakan petang ini.

“Dijangka akan ada satu keputusan (petang ini), saya kira satu keputusan yang besarlah, saya tidak boleh maklumkan lebih lanjut sehingga MKN selesai.

“Ia berhubung dengan nilai ambang yang perlu dipenuhi untuk beralih ke fasa berikutnya,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI & NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD & ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : LAW SUUN TING & CHAN KOK KUAN