PPV mega SPICE CC mula operasi 3 Ogos, suntikan sehingga 5,000 dos sehari

PANTAI JEREJAK – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega SPICE Convention Centre (SPICE CC) akan mula beroperasi secara rasmi pada 3 Ogos 2021.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa SPICE CC akan menjadi PPV paling besar yang dibuka di negeri ini dengan kapasiti suntikan sehingga 5,000 dos sehari.

“Saya lihat penambahan 5,000 dos di PPV ini akan dapat mempercepatkan lagi penerimaan vaksin oleh mereka yang telah mendaftar terutamanya penduduk di Daerah Barat Daya dan Daerah Timur Laut.

Ketua Menteri menyantuni salah seorang penerima vaksin semasa meninjau operasi PPV SPICE Convention Centre, di sini.

“Selain itu, pengoperasian PPV ini juga akan memastikan kita (Pulau Pinang) dapat mencapai matlamat 100 peratus rakyat yang telah berdaftar menerima dos pertama menjelang minggu pertama bulan September.

“Justeru, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada SP Setia kerana mengambil inisiatif tambahan dengan menawarkan SPICE Arena dan juga SPICE CC untuk digunakan sebagai PPV mega selama tiga bulan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke PPV SPICE CC di sini sebentar tadi.

Kemudahan ‘photo booth’ turut disediakan.

Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang serta Naib Presiden Eksekutif SP Setia Berhad, Datuk Koe Peng Kang.

Tambah Kon Yeow, sehingga semalam, Pulau Pinang sudah mencapai 55 peratus suntikan dos pertama, dan baki 45 peratus lagi akan dicapai menjelang awal September.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri melalui Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Pulau Pinang akan terus memastikan PPV ditambah bagi memastikan sasaran 40 peratus suntikan dos kedua dapat dicapai pada minggu ketiga bulan ini.

Ruangan suntikan.

“Untuk mencapai sasaran, kita sememangnya memerlukan PPV, namun dengan hanya membuka PPV sahaja adalah tidak mencukupi kerana kita juga perlukan sukarelawan, dan paling penting adalah bekalan vaksin untuk memenuhi kapasiti di setiap PPV.

“Oleh itu, kita berharap agar pihak CITF Kebangsaan akan selalu memantau bekalan vaksin ke setiap negeri supaya pegoperasian PPV dapat berjalan lancar,” tegasnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow menjelaskan bahawa PPV SPICE Arena yang dibuka pada awal Jun lalu masih lagi beroperasi khusus untuk penerima vaksin AstraZeneca (AZ).

Antara yang menarik di PPV SPICE CC.

“Di SPICE Arena adalah HCO A dan B untuk vaksin AstraZeneca (AZ) manakala SPICE CC adalah PPV awam untuk orang ramai yang diberikan janji temu melalui MySejahtera dan jenis vaksin diberikan pula adalah tertakluk kepada bekalan serta ditentukan oleh pihak CITF.

“Pusat ini (PPV SPICE CC) akan dikendalikan oleh dua Health Care Organisation (HCO) iaitu klinik Medi-Genesis bagi HCO C manakala Klinik Kepas Indah akan mengendalikan HCO D.

“Pengoperasian PPV mega ini turut melibatkan 181 petugas daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Jabatan Suekarelawan Malaysia (RELA), sukarelawan MyVax, pegawai dari Jabatan Belia dan Sukan, Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya serta kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa SPICE CC juga menyediakan perkhidmatan ‘walk in’ untuk kategori warga emas berumur 60 tahun dan ke atas kepada yang masih belum berdaftar dan juga belum menerima sebarang janji temu.

Difahamkan, waktu operasi bagi PPV SPICE CC adalah pada setiap Isnin hingga Ahad mulai jam 9 pagi hingga 5 petang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS