PPV, sebuah lagi hospital dan 13 klinik swasta dilantik

Admin

PANTAI JEREJAK – Program vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega SPICE Arena yang beroperasi secara rasmi mulai hari ini berjalan dengan lancar dan teratur.

Seramai 1,000 penerima vaksin AstraZeneca yang rata-ratanya terdiri daripada golongan warga emas dijadualkan menerima suntikan di PPV berkenaan hari ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa kapasiti disasarkan bagi PPV SPICE Arena adalah 1,000 dos bagi tiga hari pertama dan akan ditingkatkan kepada 3,000 hingga 5,000 dos sehari bergantung kepada keadaan semasa.

Salah seorang penerima vaksin Astrazeneca sedang melengkapkan dokumen sebelum diberikan suntikan.

“Oleh itu, mulai Khamis ini (10 Jun 2021) kapasiti akan ditingkatkan kepada 3,000 dos pada hari biasa manakala hari Sabtu serta Ahad pula (2,000 dos sehari), dan pihak berkuasa mungkin akan menambah bilangan dos sekiranya diperlukan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke PPV SPICE Arena dekat sini pagi tadi.

Turut hadir, Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood serta Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Asmayani Khalib.

Petugas kesihatan membantu melicinkan proses vaksinasi.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memaklumkan bahawa sebuah lagi hospital swasta telah dilantik sebagai PPV di negeri ini iaitu Optimax Eye Specialist Hospital selain enam hospital swasta lain yang diumumkan sebelum ini.

“Kapasiti pemberian vaksin bagi hospital swasta setiap hari adalah antara 50 hingga 200 dos bergantung kepada keupayaan setiap hospital dan pihak berwajib akan menentukan sama ada kapasiti tersebut boleh ditingkatkan dari semasa ke semasa.

“Bagi PPV di 13 buah klinik swasta yang telah didaftarkan pula, kapasiti vaksin yang akan diberikan kepada rakyat adalah antara 36 hingga 90 dos seminggu dan akan ditambah sekiranya perlu,” ulasnya lanjut.

Ketua Menteri dan dif-dif jemputan meninjau proses pendaftaran suntikan vaksin.

Tambah Kon Yeow, untuk mencapai imuniti kelompok yang dijangka pada akhir Oktober ini, kapasiti harian pemberian vaksin kepada rakyat akan ditingkatkan sehingga 15,000 hingga 20,000 dos sehari.

“Oleh itu, kapasiti PPV dan tenaga kerja juga perlu ditambah supaya mencukupi untuk menampung sasaran harian yang telah ditetapkan ini,” ujarnya.

Ditanya mengenai sama ada bekalan vaksin sedia ada mampu menampung jumlah sasaran kapasiti yang ditetapkan, Kon Yeow memaklumkan bahawa isu bekalan vaksin tidak lagi menjadi satu masalah pada masa ini.

“Ini kerana, Menteri (Sains, Teknologi dan Inovasi) telah memberi jaminan bahawa bekalan vaksin bukan lagi isu pada masa ini.

Suasana di PPV SPICE Arena yang tenang dan teratur.

“Malah, menteri berkaitan juga memaklumkan bahawa bekalan vaksin akan dihantar ke negeri ini dalam jumlah yang banyak mungkin sehingga setengah juta dos tidak lama lagi.

“Justeru, bekalan vaksin telah menjadi isu akademik dan pihak Kerajaan Negeri ketika ini akan menumpukan kepada penyediaan PPV dan tenaga manusia yang mencukupi untuk mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu membentuk imuniti kelompok pada Oktober ini,” jelasnya.

Mengulas mengenai kaedah pandu lalu yang dicadangkan oleh Exco Kesihatan negeri Pulau Pinang sebelum ini, beliau menjelaskan bahawa alternatif tersebut kini masih dalam fasa kajian serta penelitian.

Ketua Menteri menyerahkan senderahati kepada salah seorang penerima vaksin yang selesai menjalani proses vaksinasi.

Dalam pada itu, Jamilah berkata bahawa kapasiti pemberian vaksin di PPV SPICE Arena masih boleh ditingkatkan kerana mempunyai barisan petugas kesihatan yang cekap.

Mengulas mengenai kaedah pandu lalu, beliau mengeyorkan agar kemudahan tersebut disediakan bagi penerima vaksin untuk dos kedua kerana lebih mudah dan tidak menggunakan banyak masa.

“Walau bagaimanapun, apa yang penting kita harus meningkatkan jumlah orang yang divaksinasi.

“Oleh itu, tahniah diucapkan kepada Negeri Pulau Pinang kerana berjaya mencatatkan pendaftaran sebanyak 60 peratus sehingga kini tetapi kita harap usaha akan diteruskan untuk meningkatkan kepada 80 peratus,” katanya.

Difahamkan, jumlah pendaftaran penerima vaksin AstraZeneca di Pulau Pinang adalah seramai 112,350 orang iaitu seramai 31,928 orang adalah yang berumur 60 tahun dan ke atas manakala 80,422 lagi melibatkan penerima berumur antara 18 hingga 59 tahun.

Tempoh operasi bagi suntikan vaksin AstraZeneca di PPV SPICE Arena adalah mulai 7 Jun hingga 27 Julai 2021.

Waktu operasi pula adalah dari jam 8 pagi hingga 9 malam pada setiap hari Isnin hingga Jumaat manakala Sabtu dan Ahad pula dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Oleh : SUNARTI YISOFF
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS