Premis dan komuniti rumah ibadat Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town sedia beroperasi dalam normal baharu

Admin

GEORGE TOWN – Pemilik-pemilik premis dan komuniti rumah ibadat sekitar Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town dilihat sudah bersedia untuk beroperasi sepenuhnya dalam keadaan normal baharu.

Perkara tersebut dikongsikan kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada walkabout beliau di sini pagi ini.

“Lawatan ini juga adalah sebagai memberikan suntikan moral kepada pemilik-pemilik premis serta komuniti di Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Mereka (pemilik premis dan penggiat seni) kehilangan pendapatan dalam tempoh pandemik COVID-19 ini, namun mereka berkongsi satu sentimen sama iaitu sudah bersedia menerima semula kehadiran pelancong ke George Town.

“Ini adalah untuk bersama-sama bangkit dengan Kerajaan Negeri dan bangunkan semula ekonomi negeri Pulau Pinang secara menyeluruh,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Lawatan dari jam 9:30 pagi itu bermula dari Church of Assumption, Lebuh Farquhar melalui Jalan Masjid Kapitan Keling, Lebuh Armenian sebelum tamat di jeti Weld Quay kira-kira 12:45 tengah hari.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan (PETACH), Yeoh Soon Hin; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen dan Pengurus Besar George Town World Heritage Incorporated (GTWHI), Dr. Ang Ming Chee.

Mengulas mengenai pembukaan semula secara penuh rumah ibadat, Kon Yeow menyatakan bahawa perkara tersebut masih perlu menunggu keputusan serta prosedur operasi standard (SOP) daripada Kerajaan Pusat.

 

Pada lawatan sama, Kon Yeow bersama-sama rombongannya turut melawat operasi sektor-sektor lain berkait seperti pengayuh beca, premis makanan serta minuman, galeri dan kedai cenderahati yang turut menerima impak secara langsung kesan daripada penularan wabak COVID-19.

“Walaupun telah banyak sektor diberi kebenaran beroperasi kini, pemilik dan juga orang ramai adalah dirayu supaya sentiasa mematuhi SOP ketika mengoperasikan serta mengadakan lawatan ke premis-premis berkaitan.

“Sebagai jaminan kesihatan awam pula, saya menyeru agar kita terus kekalkan semangat yang kita tunjukkan sepanjang lebih daripada 80 hari tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat sebelum ini iaitu memakai pelitup muka, amalan membasuh tangan, penjarakan sosial dan memantau sebarang simptom yang perlu dilaporkan kepada pihak berwajib.

“Malah, dalam tempoh ini juga, semua pihak tidak boleh mengambil mudah tentang SOP yang dinasihatkan seperti jumlah kehadiran dalam premis.. jangan sesekali mengambil risiko.

“Sebagai tambahan, saya juga yakin bahawa pihak berkuasa akan terus memantau keadaan dari masa ke masa sehingga pengoperasian penuh setiap sektor kelak,” ulasnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

Video : DARWINA MOHD. DAUD