Presiden Seagate terima anugerah DSPN

Oleh : AHMAD ADIL MUHAMAD

GEORGE TOWN – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Presiden bagi Seagate Technology Incorporated (Seagate), Datuk Stephen J.
Luczo, menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk oleh Yang di- Pertua Negeri Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas pada sebuah majlis ringkas di Seri Mutiara di sini baru-baru ini.

Beliau menerima bintang, selempang dan lencana darjah di atas sumbangannya melaksanakan penambahbaikan dan perubahan positif terhadap sektor ekonomi negeri ini.

Bermula pada Oktober 1993 sebagai Naib Presiden Kanan Pembangunan Korporat sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pegawai Operasi dan Presiden Seagate sehingga memegang jawatan CEO pada Julai 1998, beliau berjaya memacu pelaburan sehingga RM2.5 bilion serta membuka peluang pekerjaan kepada 4,500 pekerja sejak penubuhannya pada1988.

Tidak terhenti setakat itu, beliau dan pihak pengurusan Seagate menubuhkan Seagate IT Shared Resources Centre (SRC) di negeri ini pada tahun 2009 dan membuka peluang pekerjaan kepada 200 profesional teknologi maklumat.

“Ia merupakan satu keistimewaan bagi saya untuk menerima pengiktirafan ini dan saya berterima kasih kepada Pulau Pinang di atas
penghormatan yang diberikan.

“Anugerah ini bukan sahaja memperakui sumbangan penduduk, malah dapat memotivasikan pemimpin-pemimpin luar untuk melakukan kebaikan di negara ini,” katanya ketika ditemui selepas selesainya majlis penganugerahan berkenaan di sini.

Hadir menyaksikan upacara tersebut adalah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Anugerah yang dizahirkan pada tahun 1976 itu dikurniakan kepada individu yang menyumbang perkhidmatan istimewa kepada rakyat negeri ini serta mempunyai taraf kedudukan tertinggi dan dihadkan kepada 900 orang yang masih hidup.