Prestasi PH, Ketua Menteri Pulau Pinang terbaik mengikut kajian terkini Ilham Centre

Admin

PERMATANG BERANGAN – Prestasi Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) lebih baik berbanding negeri-negeri ditadbir oleh parti-parti pembangkang, menurut firma penyelidik bebas Ilham Centre.

Menurut Ilham Centre, dapatan kajian terkini itu secara tidak langsung memberi gambaran bahawa pentadbiran Menteri Besar atau Ketua Menteri di negeri PH diterima ramai menerusi dasar yang telah dilaksanakan sepenggal lalu.

Melalui soal selidik yang sama juga mendapati bahawa pencapaian Ketua Menteri Pulau Pinang adalah paling tinggi dari segi tahap kepuasan hati rakyat diikuti oleh Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Chow Kon Yeow bersama-sama calon KADUN Permatang Berangan, Nor Hafizah Othman beramah mesra dengan penduduk Simpang Tiga Permatang Berangan.

Mengulas perkara itu, Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa dapatan daripada hasil kajian tersebut secara tidak langsung memberi keyakinan kepada PH dan Kerajaan Perpaduan untuk berdepan pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

“Kajian yang dijalankan adalah melibatkan tahap kepuasan hati rakyat terhadap pengurusan ekonomi, kebajikan dan kesejahteraan rakyat, pengurusan air bersih, pengurusan tanah serta perihal tadbir urus am yang memperlihatkan Pulau Pinang mendapat skor lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain.

“Selain itu, kajian ini juga melihat kepada aspek pencapaian Ketua Menteri yang mana Ketua Menteri Pulau Pinang paling menunjukkan kadar kepuasan hati rakyat paling tinggi.

“Oleh yang demikian, kita berasa lebih yakin untuk berhadapan dengan pengundi-pengundi kerana kita telah membuktikan bahawa kita melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dengan sebaik mungkin,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama-sama penduduk Simpang Tiga Permatang Berangan, di sini sebentar tadi.

Turut serta, calon bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Permatang Berangan, Nor Hafizah Othman; Penyelaras Khas Kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng serta Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ooi Yong Wooi.

Walau bagaimanapun, Kon Yeow yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang menyatakan bahawa masih banyak perkara yang perlu dilakukan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang khususnya membangunkan projek-projek infrastruktur diperlukan oleh rakyat di negeri ini.

“Kita sedar bahawa kita tidaklah sempurna 100 peratus dan masih banyak lagi perkara yang harus kita lakukan untuk rakyat yang memerlukan banyak sokongan daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.

“Oleh itu, pengundi-pengundi perlu memberikan kepercayaan kepada calon-calon Kerajaan Perpaduan agar Kerajaan Negeri yang dibentuk nanti adalah selari dengan Kerajaan Persekutuan.

“Ini penting untuk membantu melancarkan pelaksanaan projek-projek yang diyakini akan membawa kebaikan kepada negeri ini,” katanya yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang.

Terdahulu, media melaporkan bahawa kajian Ilham Centre yang dilakukan di enam negeri, iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan mendapati prestasi Kerajaan PH lebih baik secara keseluruhan berbanding negeri-negeri di bawah pentabdiran Pas dan Perikatan Nasional (PN).

Menurut Ilham Centre, dapatan kajian itu secara tidak langsung memberi gambaran pentadbiran Menteri Besar atau Ketua Menteri di negeri PH diterima ramai menerusi dasar yang telah dilaksanakan sepenggal lalu.

Kajian sama juga mendapati Pulau Pinang menerima kadar kepuashatian yang tinggi dalam kalangan penduduk negeri tersebut.

“Pencapaian Ketua Menteri Pulau Pinang paling tinggi tahap kepuasan hati diikuti oleh Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

“Dalam konteks keseluruhan, tahap kecekapan pengurusan dan mentadbir, negeri PH menerima dukungan daripada rakyat,” jelas Ilham Centre.