GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa prihatin dengan perkembangan semasa aspek pendidikan di negeri ini yang menjadi penanda aras terpenting dalam menentukan kehidupan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian pada sesi pertemuan dengan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil Malaysia (PERTAMA) di Komtar sebentar tadi.
Menurut Kon Yeow, beliau yakin dengan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri mampu melahirkan golongan cerdik pandai yang berjaya pada peringkat tertinggi mengikut kepakaran dan profesion masing-masing.
“Peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti PERTAMA juga harus dihargai terutama dalam menggerakkan aspek pendidikan di negeri ini selama ini,” ujar Kon Yeow yang turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada PERTAMA.
Terdahulu, PERTAMA yang diketuai oleh Presiden Kebangsaan, Datuk RRM Krishnan hadir ke Komtar bagi mengadakan kunjungan hormat dan menyuarakan hala tuju pendidikan membabitkan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
Selain bertukar-tukar pandangan mengenai objektif dan perancangan masa hadapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan, turut dikongsikan adalah hasrat untuk berbakti kepada rakyat serta mempromosikan peranan SJKT dalam pembangunan negeri pada masa hadapan.
Timbalan Presiden PERTAMA, M. Kumaran; Pengerusi PERTAMA Pulau Pinang, S. Velayutham dan Timbalan Pengerusi PERTAMA Pulau Pinang, N. Selvaraju antara yang turut sama pada pertemuan tersebut.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS