Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI
BERTAM – Pentadbiran Kerajaan Negeri berprinsipkan Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) adalah berlandaskan Maqasid Syariah dan landasan agama Islam, ujar Dato’ Abdul Malik Abul Kassim.
Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna tersebut berkata bahawa Kerajaan Negeri sudah mengetengahkan perkara berhubung Maqasid Syariah itu sejak tahun 2011.
“Pada masa itu, kita (Kerajaan Negeri) juga menganjurkannya melalui seminar dan dirasmikan oleh mantan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Maqasid Syariah juga mampu menjadikan pentadbiran sesebuah kerajaan, mahupun jabatan itu lebih baik dan berkesan,” ucapnya pada Majlis Penutup Wacana Indeks Syariah Malaysia Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Mufti Kerajaan Negeri, Sohibus Samahah, Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang (JHEIPP), Dato’ Sazali Hussein dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Zainal Abidin Jaafar.
Seminar wacana anjuran JAKIM itu antara lain bertujuan mengukur tahap perlaksanaan konsep-konsep Maqasid Syariah serta manfaatnya kepada rakyat.
Mengulas lanjut, Abdul Malik memberitahu, pentadbiran melalui Maqasid Syariah juga perlu disepadukan bersama tiga perkara iaitu pemahaman, pembudayaan dan bijaksana.
“Pemahaman amat penting bagi memastikan pelaksanaan itu dapat dijalankan dengan lebih baik serta berkesan.
“Pada tahun 2010 juga, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan konsep Wasatiyah (kesederhanaan) sebagai tema sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.