Priority 1 Gurney Bay dijangka buka kepada umum hujung tahun ini

GEORGE TOWN – Status pelaksanaan projek Pembangunan Gurney Bay telah mencapai kadar 96.15 peratus sehingga 1 September 2023, maklum Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye.

 

Walau bagaimanapun, Mooi Lye memberitahu bahawa projek tersebut mengalami sedikit kelewatan atas sebab-sebab tertentu.

 

“Mengikut kontraktor, kerja-kerja di Priority 1 dijangka siap pada 30 September ini dan mungkin akan dibuka kepada orang awam pada penghujung tahun ini setelah mendapat pertimbangan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) serta perunding projek untuk memastikan keselamatan pengguna.

 

 

“Projek Gurney Bay terdiri daripada 70 peratus kawasan hijau dan taman air atau bersamaan dengan keluasan 70.81 ekar.

 

 

“Antara kemudahan yang terdapat di Priority 1 adalah merangkumi taman permainan yang kini telah mencapai status pembinaan kira-kira 97 peratus, skate park (100 peratus), parkir (100 peratus), south vintage point (99 peratus), tandas (86 peratus) dan kiosk (93 peratus).

 

Turut hadir, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid; Pengurus Besar Unit Perbadanan Ketua Menteri (CMI), Datin S. Barathi serta wakil-wakil JKR dan kontraktor terlibat.

 

 

Mengulas lanjut, Mooi Lye memberitahu bahawa sebanyak 4,541 batang pokok ditanam di Priority 1 tidak termasuk 10,000 batang pokok renek.

 

Difahamkan, Priority 2 seluas 87.82 ekar pula dijangka siap pada suku keempat tahun 2024 melibatkan pembangunan gerai perniagaan, parkir bertingkat, north vantage point, tandas, surau, parkir motosikal, jeti teksi air, rizab kerajaan, pantai dan ruang pejalan kaki, taman air, parkir terbuka dan longkang tebatan banjir.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT