Priority 1 Gurney Bay hanya tunggu prapelancaran sebelum dibuka – Exco

c427a623 c6e7 4729 974d c59cc2c1b28d ANTARA kemudahan rekreasi awam yang sempat dirakamkan dalam tinjauan lapangan Buletin Mutiara di Prirority 1 Gurney Bay di sini pada awal pagi tadi (19 Januari 2024).

GEORGE TOWN – Fasa 1 projek pembangunan Gurney Bay yang dikenali sebagai Priority 1 dijangka siap sepenuhnya pada hujung bulan Januari ini.

img 7301
JASON H’ng Mooi Lye

Mengulas lanjut, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata fasa 1 kawasan pembangunan bercampur termasuk taman rekreasi di atas tanah yang ditebus guna itu akan dibuka kepada orang awam seusai Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyempurnakan acara prapelancaraan nanti.

“Tiada lagi kerja-kerja major, tinggal kerja-kerja minor iaitu memperbaiki aspek kecacatan struktur sahaja.

“Bila nak buka fasa 1 (Priority 1) ini, akan dibincangkan dengan Ketua Menteri berhubung prapelancaran projek, sebelum dibuka kepada orang awam,” jelasnya semasa dihubungi Buletin Mutiara pada 19 Januari 2024.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi itu memberitahu bahawa fasa 2 projek Gurney Bay ketika ini sedang berjalan ikut jadual pembangunan.

“Dijalankan serentak dengan fasa 1, kerja-kerja pembinaan parkir bertingkat di tapak fasa 2 (Priority 2) ketika ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu dalam satu kenyataan pada 30 November 2023 antara lain berkata tiada keperluan untuk menubuhkan syarikat bertujuan khusus (SPV) bagi menguruskan pengoperasi ‘taman rekreasi awam seisi keluarga’ di Gurney Bay kelak.

Difahamkan, 70 peratus dari keseluruhan kawasan pembangunan bercampur di Gurney Bay yang menyamai keluasan 70.81 ekar adalah kawasan hijau dan taman air.

Di Priority 1 Gurney Bay itu nanti akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan awam antaranya ‘skate park’, parkir, ‘south vintage point’, tandas, dan kiosk serbaneka.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD