RM3 juta diperuntuk demi capai sasaran SUKMA 2024 di Sarawak

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3 juta kepada Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) dalam usaha mencapai sasaran 40 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak pada Ogos 2024.

 

 

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata bagi merealisasikan sasaran tersebut, para atlet dan jurulatih terpilih dalam kalangan 37 jenis sukan yang dipertandingkan disaran untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu pingat emas bagi setiap kontinjen.

 

 

“Baki selebihnya kita jangka akan hadir daripada sukan-sukan yang kita telah kuasai.

 

 

“Empat teras utama turut diletakkan iaitu memberi fokus pemerkasaan berterusan kepada atlet dan jurulatih, meningkatkan jumlah bilangan atlet-atlet dalam latihan skuad pelapis SUKMA, pembangunan akar umbi secara berterusan serta mengukuhkan urus tadbir dan penglibatan,” jelasnya pada Sesi Penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 dan Usul Anggaran Perbelanjaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini tengah hari tadi.

 

 

Dalam perkembangan lain, Zi Sen turut menyatakan hasrat untuk mendekati belia di negeri ini secara lebih spesifik melalui perancangan Siri Jelajah Belia yang bakal dijalankan pada skala lebih mikro.

 

 

 

“Konsep siri jelajah yang dirangka ini akan dilakukan pada peringkat kawasan kampung supaya pendekatan yang lebih rapat dapat dijalinkan khususnya bersama golongan belia di kawasan setempat.

 

 

“Antara objektif dan visi yang ingin dicapai melalui inisiatif ini adalah untuk menyantuni golongan belia setempat agar Kerajaan Negeri dapat memahami secara lebih dekat isu dan masalah yang dihadapi oleh golongan ini sama ada dalam isu pendidikan, peluang pekerjaan dan pembangunan sosial serta masalah kawasan setempat,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.

 

 

Mengulas lanjut, Zi Sen berkata selain Visi Penang2030, dasar Rakan Muda Kementerian Belia dan Sukan juga akan dititikberatkan dalam pengisian program dan siri jelajah tersebut.

 

 

“Kemuncak program ini adalah menjelang penganjuran Sambutan Hari Belia Negara peringkat Negeri Pulau Pinang yang dijangka berlangsung pada Mei, 2024.

 

 

 

“Sebanyak RM100,000 akan disediakan bagi Dana Pembangunan Belia sebagai permulaan bagi menyokong inisiatif pembangunan belia secara holistik ini,” ujarnya lagi.

 

 


Antara tumpuan lain yang diberikan perhatian bagi tahun 2024 menurut Zi Sen, termasuklah pelan mewujudkan Batu Kawan Sports City melalui kerjasama awam swasta, menambah lorong basikal di Pulau Pinang serta merangka strategi kewangan dengan membuka sebahagian ekuiti pemilikan kepada pihak-pihak yang berminat, sebagai usaha meningkatkan lagi daya saing Penang FC dalam arena bola sepak.

 

 

Menyentuh mengenai portfolio kesihatan pula, Zi Sen memaklumkan bahawa setakat 30 Oktober lalu, sebanyak 67 projek telah siap dilaksanakan, 17 projek dalam pelaksanaan dan satu projek masih pada peringkat prapelaksanaan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

 

 

“Pelaksanaan 85 projek ini termasuk 19 projek naik taraf klinik daif dan satu projek perobohan dan pembinaan semula klinik daif yang merangkumi peruntukan sebanyak RM3,550,000.

 

 


“Setakat 30 Oktober lalu, sebanyak 18 projek klinik daif telah siap dilaksanakan manakala satu lagi projek masih dalam pelaksanaan,” ulasnya lagi.

 

 

 

Pada sesi sama, Zi Sen turut menyeru kepada semua penduduk di negeri ini agar sentiasa menjaga kesihatan dengan cara memilih makanan yang lebih sihat dan bergerak aktif bagi mencegah obesiti sekali gus mengelakkan penyakit tidak berjangkit seperti diabetis, hipertensi dan masalah jantung.

 

 

 

“Malah, kajian National Health and Morbidity Survey (NHMS) turut menunjukkan trend peningkatan bagi penyakit diabetes iaitu dari 11.2 peratus (2011) kepada 13.4 peratus (2015) dan meningkat kepada 18.3 peratus (2019).

“Selain itu, karies gigi dalam kalangan kanak-kanak juga masih tinggi iaitu 76.2 peratus (2000) dan 71.3 peratus (2015) bagi kanak-kanak 5 tahun, dan 41.5 peratus (2007) dan 33.3 peratus (2017) bagi kanak-kanak berumur 12 tahun,” katanya lagi.

 


Oleh : WAWATA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI