PRN enam negeri serentak walaupun bubar DUN bukan hari sama, respons Kon Yeow

Admin

SUNGAI ACHEH – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pihaknya berharap Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang dapat dilangsungkan secara serentak di lima negeri lain, seperti disepakati baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri berkata bahawa Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, dan Terengganu telah sepakat membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada dua minggu terakhir Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN.

“Mungkin semua negeri itu tidak bubar (DUN) pada hari sama, tetapi dalam tempoh dua minggu ini, sebab saya difahamkan ada upacara rasmi yang melibatkan Tuanku Sultan dan sebagainya.

“Jadi, dalam tempoh dua minggu itu, setiap negeri akan memilih masa yang sesuai (untuk membubarkan DUN) dan selepas itu kIta serahkan kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) untuk menentukan tarikh PRN.

“Tujuan kita selaraskan tarikh pembubaran dalam tempoh yang ‘dekat-dekat’ adalah untuk memudahkan SPR menetapkan tarikh yang sama untuk keenam-enam buah negeri (mengadakan PRN secara serentak),” responsnya yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang dalam sidang media berkaitan di sini pada 25 Februari 2023.

Sebelum itu, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi merasmikan Majlis Penyerahan Projek Jambatan Tanjung Berembang di Jalan P169, Nibong Tebal.

Terdahulu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan dalam suatu kenyataan pada 23 Januari 2023 antara lain berpendapat bahawa sumber tenaga dan kos pengurusan berwajib dapat dijimatkan sekiranya PRN di keenam-enam negeri tersebut dilangsungkan secara serentak.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR