PRN: Kon Yeow ulangi tekad tubuh Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang dengan majoriti dua pertiga

Admin
CHOW Kon Yeow (tengah, berdiri) menyantuni seorang pengunjung New World Park semasa jerayawara di sini pada 2 Ogos 2023.

GEORGE TOWN – Kenyataan seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) bahawa 26 daripada 34 kerusi sudah dalam ‘genggaman’ gabungan parti pemerintah itu mungkin berdasarkan keputusan pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November tahun lepas serta mengambil kira komposisi pengundi mengikut kaum sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) yang kian kunjung tiba.

Mengulas lanjut, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa jentera Perpaduan berharap kekal mendapat mandat rakyat untuk menubuhkan Kerajaan Negeri baharu dengan majoriti kemenangan dua pertiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Saya berasa (menang 26 daripada 40 kerusi DUN Pulau Pinang) adalah sasaran minimum yang boleh dipertingkatkan lagi supaya kita (jentera Perpaduan) boleh menang (dengan majoriti) melebihi dua pertiga.

“Saya pernah kata, kalau boleh capai (kemenangan) pada 30 atau 32 kerusi, boleh dianggap sebagai keputusan yang baik, itupun anggaran lebih awal dari sekarang,” jelasnya di astaka makan dan minum New World Park seusai acara jerayawara peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota di sini pada 2 Ogos 2023.

Semalam, Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Goh Choon Aik dilaporkan mendakwa 26 daripada 34 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi PH dalam PRN ini sudah berada dalam ‘genggaman’.

Beliau yang juga calon PH bagi KADUN Bukit Tambun berkata demikian semasa berucap dalam pada Majlis Pelancaran Manifesto dan Pengenalan Calon-Calon Perpaduan semalam.

Dalam perkembangan lain, semasa diminta mengulas satu laporkan akhbar media, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan menasihatkan semua parti yang mengambil bahagian dalam PRN Pulau Pinang supaya tidak menajamkan isu 3R atau ‘Bangsa, Agama dan Raja’ bagi meraih sokongan pengundi.

“Bagi saya (menajamkan isu 3R) adalah kempen politik yang tidak sihat… seakan membawa Malaysia kembali pada era 1980-an yang melihatkan saingan antara PAS dan Umno pada waktu itu.

“Ada banyak perkara lain boleh dijadikan bahan kempen (antaranya) berkaitan pencapaian Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah ataupun masalah kesesakan trafik dan sebagainya,” ujarnya lagi sambil menganggap nasihat tersebut adalah demi mengekalkan keharmonian rakyat majmuk di Pulau Pinang.