TANJUNG BUNGA – Proses rundingan bagi pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) belum dimuktamadkan lagi.
Ketua Menteri yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, masih berbaki antara dua hingga tiga kerusi yang sedang diperhalusi kini.
“Masih ada pertindihan antara dua hingga kerusi lagi dan kini pada peringkat akhir perbincangan, saya percaya akan diselesaikan dalam waktu terdekat ini,” ujarnya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Tanjung Bunga dan Parlimen Bukit Bendera di sini pada 13 Mei 2023.
Mengulas mengenai penggunaan logo pada PRN nanti, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota memaklumkan bahawa masih belum ada perbincangan lanjut mengenainya.
“Walau bagaimanapun, bagi (calon) PH, logo PH akan digunakan memandangkan gabungan bersama (BN) bukan di bawah satu logo PH,” katanya.
Terdahulu, semasa berucap pada majlis tersebut, Kon Yeow menyeru agar rakyat di negeri ini terus memberi mandat kepada PH Pulau Pinang untuk menerajui negeri meskipun dalam persekitaran yang kian mencabar.
“Saya melihat bahawa masa hadapan negeri Pulau Pinang amat cerah di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan berharap agar dapat diteruskan ke Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Teruskan memberi mandat supaya kita semua dapat melihat kesinambungan kejayaan pentadbiran Pakatan Harapan (Pulau Pinang) kini pada masa hadapan,” serunya.