GEORGE TOWN – Semua Menteri Besar dan Ketua Menteri dari enam negeri dijemput menghadiri mesyuarat bersama pada 23 Februari ini bagi membincangkan penyelarasan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa mesyuarat yang diusahakan oleh Menteri Besar Selangor tersebut adalah untuk memudah cara (proses pemilihan) apabila penyeragaman tarikh-tarikh penting dibuat.
“Saya telah menerima surat jemputan dan mesyuarat tersebut adalah sekadar untuk membincangkan serta menyelaraskan tarikh penting seperti pembubaran DUN dan tarikh untuk adakan PRN yang mana kemudiannya akan diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” ujarnya pada sidang media di Komtar pada 20 Februari 2023.
Sebelum ini, SPR berpendapat bahawa PRN bagi enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu diadakan secara serentak seperti yang pernah dicadangkan beberapa pihak sebelum ini.
Difahamkan, mesyuarat yang bakal diadakan pada Khamis ini adalah bersempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) yang berlangsung pada minggu berkaitan.
Ditanya mengenai ‘muka baharu’ sebagai calon, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota memaklumkan bahawa pihaknya akan melihat semula senarai bakal-bakal calon sama ada yang sedang berkhidmat sebagai ADUN (untuk dicalonkan semula) atau tampil dengan ‘muka baharu’.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang menyatakan bahawa sehingga hari ini masih belum ada sebarang proses rundingan bersama pihak Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN kelak.
Kita (Pakatan Harapan Pulau Pinang) telah menerima arahan daripada pimpinan Pusat, namun masih belum memulakan proses rundingan.
“(Dan) secara rasmi, tidak ada apa-apa surat untuk menetapkan tarikh perbincangan bagi memulakan proses rundingan ini.
“Walau bagaimanapun, saya mencadangkan supaya diadakan mesyuarat pada peringkat Pakatan Harapan negeri dahulu meskipun sebelum ini ada berbincang mengenainya.
“Mungkin kita akan lihat dalam mesyuarat Pakatan Harapan negeri akan datang untuk memulakan proses perbincangan (dan rundingan) dengan BN,” jelasnya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Pulau Pinang.