PRN: Nasib peniaga kecil, penjaja akan terus diutamakan, respons Kon Yeow

Admin
CHOW Kon Yeow (kanan), Gooi Zi Sen (tengah) dan Gooi Hsiao Leung menyantuni seorang penjaja semasa jerayawara di Pasar Awam Sri Rambai dekat KADUN Padang Lalang di sini pada 3 Julai 2023.

PADANG LALANG – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pihaknya akan terus membela nasib peniaga kecil dan penjaja jika terus diberi mandat menubuhkan Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 nanti.

Menurut Calon Perpaduan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota itu, sejak tahun 2008 hingga kini, sejumlah 58 pasar awam di seluruh Pulau Pinang sudah dinaiktarafkan, dibina semula atau ditempatkan semula untuk manfaatkan kumpulan peniaga kecil, penjaja serta rakyat.

“Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 memang melakukan kerja-kerja penaiktarafan pusat-pusat penjaja (kerana ia) suatu agenda yang penting,” jelasnya seusai mengetuai jerayawara dekat Pasar Awam Sri Rambai di sini pada 3 Ogos 2023.

Calon Perpaduan bagi DUN Padang Lalang, Gooi Zi Sen; Gooi Hsiao-Leung (calon Perpaduan DUN Bukit Tengah) dan mantan ADUN Padang Lalang, Chong Eng turut sertai jerayawara tersebut.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa dalam tahun 2023 sahaja Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menaik taraf enam lagi pasar awam di bahagian pulau.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada minggu lepas sahaja telah melancarkan dua tapak perniagaan tepi jalan dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tambun, dengan memberi lesen sementara kepada penjaja yang terbabit.

“Pada minggu lepas, saya berada di (Kawasan Dewan Undangan Negeri, KADUN) Bukit Tambun, melancarkan dua tapak jaja sementara di tepi jalan yang berniaga tanpa lesen,

“(Kerja-kerja membela nasib peniaga kecil dan penjaja tepi jalan) ini adalah suatu usaha berterusan, tidak perlu menunggu manifesto (pilihan raya)… untuk memastikan penjaja kecil ada suatu tempat (penjajaan) yang sah,” ujarnya.

Buletin Mutiara difahamkan beberapa tahun lepas Kerajaan Negeri melalui MBSP turut menyusun semula penjaja tepi jalan di sekitar Pasar Awam Sri Rambai ke kawasan petak dekat kawasan lapang di sini dengan pemberian lesen jaja harian sementara.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri berpendapat mendapan struktur Pasar Awam Sri Rambai seperti dibangkitkan oleh seorang pemberita arus perdana tadi adalah isu baharu.

Bagaimanapun kata beliau, MBSP akan menyiasat isu baharu tersebut demi keselamatan sekalian kumpulan penjaja kecil dan pengunjung Pasar Awam Sri Rambai di sini.

“Kita akan meminta majlis (MBSP) siasat,” ulasnya.