GEORGE TOWN – Proses rundingan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang akan diteruskan serta dimaklumkan pada peringkat Pusat untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang berkata demikian ketika ditanya mengenai status terbaru rundingan yang melibatkan dwi gabungan parti tersebut, sama ada telah selesai atau sebaliknya.
“Rundingan masih berjalan…dapatan adalah proses…sebab ada dapatan perlu dibawa balik (ke meja rundingan) untuk dibincangkan semula.
“Ada dapatan akan dilaporkan kepada peringkat Pusat sebab dapat termasuk selesainya pencapaian atau masih belum capai persetujuan,” responsnya yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang dalam sidang media berkaitan di Komtar pada 25 Mei 2023.
Menurut Kon Yeow, dalam mesyuarat terkini dwi gabungan parti tersebut baru-baru ini , ia turut disertai wakil Umno, MCA dan MIC.
Kon Yeow memberi penjelasan tersebut semasa diminta mengulas mengenai sumber portal berita berbahasa Cina yang melaporkan MCA – sebagai parti komponen BN – akan turut bertanding 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atas tiket ‘Kerajaan Perpaduan’ termasuk dua kerusi di Pulau Pinang.
Kon Yeow berkata mungkin perkara itu adalah cadangan daripada pemimpin parti berkenaan sahaja, namun akhirnya akan dimuktamadkan oleh pemimpin berwajib peringkat Pusat.
13 Mei lepas, Kon Yeow berkata bahawa proses rundingan melibatkan dwigabungan parti pemerintah tersebut di negeri ini masih berbaki antara dua hingga tiga kerusi dan sedang diperhalusi.
19 Mei lepas, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang masih memegang persetujuan sebelum ini iaitu untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di enem negeri secara serentak pada dua minggu terakhir bulan Jun ini bagi membolehkan PRN diadakan.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI