GEORGE TOWN – Menjelang jam 11 tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan ketiga-tiga calon Perpaduan yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang di Pusat Penamaan Calon dekat Dewan Seri Pinang di sini.
Pegawai Suruhanjaya N26, TPr. Rozita Hamit mengesahkan bahawa Chow Kon Yeow bertanding di N26 Padang Kota.
SPR turut mengesahkan Teh Lai Heng dan Wong Yuee Harng masing-masing bersaing di N28 Komtar dan N27 Pengkalan Kota.
Ketiga-tiga calon Perpaduan berkenaan akan menerima saingan dua penjuru sahaja daripada Perikatan Nasional, serta tiada calon bebas dalam PRN di sini.
Seusai disahkan sebagai calon, Kon Yeow kembali kepada kumpulan penyokongnya bagi merakamkan penghargaan berwajib.
“Terima kasih kepada keahlian pada semua peringkat yang hadir dan memberi semangat kepada calon-calon Perpaduan yang akan bertanding di ketiga-tiga DUN (Dewan Undangan Negeri) dalam kawasan Parlimen.
“Saya berharap kempen berjalan lancar, selepas 12 Ogos nanti (iaitu Hari Pembuangan Undi) kita akan bertemu kembali dengan kemenangan bagi Jentera Perpaduan,” jelasnya yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) negeri Pulau Pinang di sini pada 29 Julai 2023.
Dalam sidang media sebelum itu, Kon Yeow yang juga calon Ketua Menteri ‘Perpaduan’ menyatakan bahawa tumpuan pada hari ini adalah memastikan kesemua 40 calon Perpaduan termasuk enam dari Barisan Nasional sah bertanding sempena PRN kali ini.
“Pada hari ini, tumpuan kita adalah pada semua calon (Perpaduan) bagi memastikan borang penamaan calon telah dihantar dan disahkan (oleh SPR) sebagai calon serta sesegera mungkin meneruskan kempen,” ujarnya yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) negeri Pulau Pinang.
Menjawab soalan pemberita selepas itu, Kon Yeow berkata bahawa pihaknya berharap tidak ada anasir seperti sabotaj dalaman parti terhadap mana-mana calon yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada sepanjang tempoh berkempen sebelum Hari Pembuangan Undi pada 12 Ogos depan.
“Buku lama seharusnya ditutup dan perlu buka buku baharu untuk kembali mendapatkan mandat untuk penggal keempat (PRN).
“Sebenarnya, kita tidak terima apa-apa berita tentang boikot sebab dalam semua kawasan (mengundi) peralihan tenaga dan sumber sudah berlaku.
“Misalnya di Pengkalan Kota, mantan ADUN (Daniel Gooi Zi Sen) telah menyerahkan jentera kepada Saudara Wong (Yuee Harng), manakala Saudari Chong Eng (bekas ADUN) sudah serahkan jentera dan sumber kepada Suadara Daniel Gooi (Zi Sen) yang bertanding di Padang Lalang.
“Cuma mungkin di dua kawasan (tertentu) ada ahli parti yang bertanding secara bebas; di kawasan ini ianya juga tidak akan timbul masalah sebab sumber kita ada di semua peringkat dan boleh diagihkan supaya kita tidak menghadapi isu sedemikian (iaitu sabotaj dalaman parti),” ulasnya lanjut.
Di samping itu, Kon Yeow memberitahu bahawa peringkat Jentera Perpaduan yang melibatkan PH dan BN sehingga 12 Ogos ini akan meneruskan tradisi kempen iaitu secara berkumpulan, kecuali aktiviti menemui pengundi dari rumah ke rumah sahaja mengikut jadual calon masing-masing.
“Selalunya kempen DAP Pulau Pinang, kita berkempen secara berpasukan peringkat Parlimen.
“Di peringkat negeri pun, kita jarang berkempen secara bersendirian melainkan lawatan dari rumah ke rumah, itu dilakukan oleh calon sendiri.
“Ini memang tradisi di Tanjong, kebiasaan kempen secara berpasukan melainkan lawatan dari rumah ke rumah oleh calon itu sendiri,” katanya sambil berharap tradisi kempen secara berkumpulan turut akan membantu wartawan bertugas membuat liputan media berwajib.
Sekitar 7.30 pagi tadi, lebih 200 orang berarak bagi mengiringi ketiga-tiga calon Perpaduan ke Dewan Sri Pinang.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ALISSALA THIAN