Produk industri halal adalah untuk semua – KM

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

PANTAI JEREJAK – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menegaskan bahawa produk industri halal adalah untuk semua dan tidak hanya khas kepada golongan-golongan tertentu sahaja.

Guan Eng berkata demikian sebagai membalas kenyataan sesetengah pihak sebelum ini yang menyatakan bahawa beliau seorang yang diskriminasi apabila menyokong industri halal di Pulau Pinang.

“Saya kesal dengan kumpulan cauvinis ini yang menyifatkan penglibatan saya dalam industri halal sebagai diskriminasi kepada kaum tertentu di Pulau Pinang.

“Negara-negara bukan Islam seperti Jepun, Korea, China, Thailand dan lain-lain pun kini giat melibatkan diri dalam industri halal, jadi kenapa kumpulan cauvinis ini mahu pertikaikannya,” ucapnya pada Majlis Perasmian Ekspo dan Persidangan Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEC) 2017 dekat Subterranean Penang International Convention and Exhibition Center (SPICE) di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Dato’ Maktar Shapee; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim; Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Mohd. Salleh Man; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng dan Ahli Lembaga Pengarah Penang International Halal Hub
(PIHH), Mohamad Sabu.

Guan Eng dalam pada itu turut memberi jaminan bahawa PIHEC yang dianjurkan oleh PIHH berkaitan akan diteruskan pada tahun hadapan.

“Industri halal dilihat penting, malah di peringkat global, kita boleh menyaksikan transaksi hampir USD3 trilion setahun…negara bukan Islam juga turut terlibat menyediakan produk-produk halal dalam memenuhi permintaan pasaran semasa,” jelasnya.

Dalam pada itu, Abdul Malik berkata, PIHEC 2017 merupakan penganjuran kali kelapan dengan menampilkan 330 gerai jualan daripada pelbagai sektor.

“Antaranya, sektor makanan, perubatan, kesihatan, pelancongan, kecantikan, pameran agensi kerajaan serta swasta dan banyak lagi.

“Malah, setiap tahun, kita juga turut menampilkan selebriti-selebriti terkenal tanah air seperti Datuk Fazley Yaakob, Amira Othman dan Fynn Jamal untuk berkongsi pengalaman mereka dan beramah-mesra dengan para peminat,” jelasnya merangkap Pengerusi PIHH.

Pada majlis sama, turut berlangsung pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara PIHH dengan Halal International Selangor sebagai rakan kerjasama dalam membangunkan industri halal tanah air.