Produk kecantikan NittaCun guna herba semula jadi

whatsapp image 2024 11 15 at 12.19.39

TAMAN Herba Bertam seluas 2.03 hektar yang dibangunkan sejak tahun 2015 bukan sahaja menjadi pusat agropelancongan negeri, malah turut membantu menjana aktiviti ekonomi kepada penduduk setempat.

Menurut Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang, Taman herba yang menempatkan 200 jenis herba telah berjaya menggamit kehadiran 78,535 pengunjung pada tahun 2023, dan menyumbang pendapatan kira-kira RM1.08 juta kepada enam usahawan aktif di situ.

Syarikat Koleksi Gemilang Enterprise yang menghasilkan produk kecantikan bawah jenama NittaCun antara usahawan yang mendapat manfaat secara langsung daripada pembangunan Taman Herba Bertam.

Pengasasnya, ANITA IDRIS, 51, ketika ditemui Buletin Mutiara berkata bahawa selepas hampir tujuh tahun beroperasi di dalam kawasan Taman Herba Bertam, perniagaannya kini berjaya mencatatkan nilai jualan kasar melebihi RM300,000.

“NittaCun mula masuk ke Taman Herba Bertam pada tahun 2017 sebagai usahawan perantis, dan selepas taman herba dibuka secara rasminya pada tahun 2019, kami mula menjalankan perniagaan secara serius.

whatsapp image 2024 11 15 at 12.19.40 (1)
Anita Idris ketika ditemui Buletin Mutiara dekat premis perniagaannya di Taman Herba Bertam baru-baru ini.

“Terdapat enam usahawan di dalam Taman Herba Bertam yang menjalankan perniagaan berlainan seperti penginapan, spa, urutan tradisional Melayu, kafe makanan dan minuman berasaskan herba dan pusat pemprosesan herba,” katanya kepada penulis, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI dalam wawancara khas dekat premis perniagaannya dekat Taman Herba Bertam pada 13 November lalu.

Penglibatan awal

Bercerita mengenai penglibatan awal dalam dunia perniagaan, Anita berkata beliau bermula dari bawah sebagai pekerja di sebuah syarikat kosmetik di Shah Alam, Selangor selama lebih tujuh tahun.

Katanya, selepas mengambil keputusan berhenti kerja dan kembali ke Pulau Pinang, beliau mula menjalankan perniagaan spa di rumah menggunakan produk yang dihasilkan sendiri daripada bahan-bahan semula jadi.

“Pengalaman selama tujuh tahun di syarikat kecantikan memberikan saya keberanian untuk terlibat dalam peniagaan spa dan jualan produk kecantikan berasaskan herba.

“Selepas beberapa tahun beroperasi dan mendapat sambutan menggalakkan, saya mula menghasilkan produk kecantikan (jamu) secara serius sehingga pada satu tahap saya terpaksa membuat pilihan antara spa dan perniagaan menjual produk.

“Akhirnya saya memilih untuk menjalankan perniagaan kecantikan dan selepas mendapat bimbingan daripada Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang, maka wujudlah bengkel memproses produk kecantikan seperti yang ada kini,” ujarnya.

Anita berkata, produk keluaran NittaCun dihasilkan menggunakan herba-herba semula jadi yang didapati secara percuma di Taman Herba Bertam seperti manjakani, halia, limau purut, temulawak, daun pudina dan banyak lagi.

Antara produk kecantikan yang dipasarkan di bawah jenama NittaCun kini adalah berupa produk penjagaan diri seperti losyen, sabun pencuci muka, mandian dan minyak terapi.

“Produk keluaran NittaCun sudah berjaya dipasarkan bukan sahaja dalam negara tetapi turut mendapat permintaan tinggi di luar negara termasuk Singapura, Brunei, Indonesia dan Thailand.

“Terbaru kami dalam proses untuk memenuhi permintaan pasaran di Afrika Selatan dalam masa terdekat,” jelasnya lanjut.

Keistimewaan produk

Menyentuh mengenai keistimewaan produk keluaran NittaCun, Anita dengan yakin menyatakan bahawa semua produk yang dipasarkan adalah selamat digunakan kerana menggunakan bahan-bahan herba semula jadi.

Selain itu katanya, semua produk juga dijual pada harga yang berpatutan dan mampu milik.

“Contohnya, produk mandian ini walaupun dihasilkan menggunakan herba-herba semula jadi bernilai tinggi seperti aloe vera, daun gelenggang (Senna alata), pokok bidara dan madu tetapi hanya dijual dengan harga RM29 sebotol.

“Selain dapat melembutkan dan menghaluskan kulit tubuh, penggunaan gel mandian ini secara berterusan juga membantu mengurangkan parut pada badan serta menyelesaikan masalah kulit sensitif.

“Minyak Theraphy Bidara yang dihasilkan daripada Sfera kayu putih (Eucalyptus globulus), pokok bidara (Ziziphus mauritiana), limau purut (Kaffir lime), daun pudina (Papermint), buah pala dan halia pula dijual pada harga RM15 bagi 60 milimeter (ml).

“Semua produk keluaran NittaCun boleh didapati secara dalam talian di platform Tik Tok, Shopee dan Facebook selain daripada ejen-ejen yang telah dilantik secara sah,” jelasnya lanjut.

Selain memasarkan produk kecantikan, Anita memberitahu bahawa syarikatnya turut menawarkan perkhidmatan Skim pengilangan kontrak (OEM) kepada pengusaha produk kecantikan yang ingin membina jenama sendiri.

Perancangan masa depan

Ditanya mengenai perancangan masa depan, Anita memberitahu bahawa beliau menyimpan hasrat untuk menambah lagi produk jualan seperti syampu dan pembersih wanita yang dihasilkan menggunakan tumbuhan herba semula jadi.

“Kami menerima banyak permintaan untuk beberapa produk berasaskan herba yang lain tetapi tidak dapat dihasilkan buat masa ini kerana masih dalam peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kajian kebolehpasaran.

“Selain itu, kami juga mempunyai impian agar suatu masa nanti produk kecantikan NittaCun dapat dipasarkan dengan meluas terutamanya di pasar raya mega seperti Queensbay Mall, Gurney Plaza, Sunway Carnival Mall serta banyak lagi,” katanya.

Mengakhiri bicara, Anita turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan agensi-agensi kerajaan Persekutuan yang terlibat membantu meningkatkan perniagaan syarikatnya kini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang yang telah mewujudkan Taman Herba Berta mini yang dilihat membawa banyak manfaat kepada penduduk di sini terutamanya usahawan kecil seperti kami.

“Di samping itu, kami juga menghargai bantuan yang diberikan oleh Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, Jabatan Pembangunna Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan lain-lain yang telah membantu kami mengembangkan perniagaan ini.

“Dengan bantuan yang diberikan, kami mampu meningkatkan pendapatan perniagaan daripada hanya kurang RM2,000 sebelum ini kepada lebih RM300,000 setahun kini,” katanya yang kini dibantu oleh tiga orang tenaga kerja.