Produk sulaman Khairos Imani tembusi pasaran antarabangsa

Admin
bel 4811

BERBEKALKAN Kemahiran asas menjahit, KHAIRIYAH GHAZALI, 45, mengambil keputusan memulakan perniagaan jahitan pakaian secara tidak formal selepas berhenti kerja pada tahun 2007.

Ketika itu, beliau hanya mengambil tempahan secara kecil-kecilan daripada penduduk setempat dengan memperoleh pendapatan kira-kira RM700 sebulan.

Kini, pemilik perniagaan Khairos Imani Enterprise itu tidak menyangka bahawa perniagaannya kini mampu menjana hasil menguntungkan selain produk keluarannya berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Tingkatkan Kemahiran

Khairiyah berkata, perubahan itu berlaku selepas beliau menyertai  empowerNCER – Latihan Kemahiran dan Keusahawanan yang digerakkan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) pada tahun 2021.

“Pada masa itu, perniagaan saya merosot teruk kerana kurang mendapat tempahan daripada pelanggan akibat penularan pandemik COVID-19.

“Di sebalik fasa penuh mencabar itulah, saya mengetahui bahawa pihak Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menganjurkan kursus dan latihan khusus untuk membantu peniaga yang terkesan meneruskan perniagaan masing-masing.

“Tanpa membuang masa, saya terus sertai program ini dengan niat hanya untuk mengembangkan lagi Kemahiran jahitan memandangkan kursus yang ditawarkan oleh NCER adalah secara percuma.

“Melalui kursus ini, saya memperoleh ilmu kemahiran dalam dua teknik iaitu jahitan sulaman dan jahitan fesyen,” katanya kepada wartawan Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS ketika ditemui dekat Lotus’s Seberang Jaya pada 22 Mac lalu.

6
Kebaya Nyonya mini yang diletakkan di dalam bingkai gambar dan patung merupakan antara produk yang mendapat permintaan tinggi.

Khairiyah menyatakan bahawa penyertaannya dalam empowerNCER juga telah memunculkan idea untuk menghasilkan jahitan sulaman kebaya mini yang kini menjadi antara produk yang mendapat permintaan tinggi.

Tambahnya, tidak semua orang suka memakai kebaya kerana itu beliau menampilkannya dalam bentuk cenderahati untuk menarik lebih ramai orang membeli dan seterusnya mengenali pakaian tradisional tersebut.

“Ia juga merupakan antara usaha dalam memartabatkan seni sulam terutama buat golongan belia agar mereka juga berminat seterusnya menjaga warisan seni ini.

“Kalau boleh saya mahu semua orang bukan sekadar minat tetapi mampu membuat seni sulam ini seterusnya memasarkannya ke peringkat antarabangsa,” ujarnya yang masih menggunakan mesin manual bagi mengekalkan kehalusan sulaman.

Tempahan dari Singapura, London

Khairiyah dalam pada itu, memberitahu bahawa terdapat tiga rekaan yang ditawarkan kepada pelanggan antaranya kebaya lengkap, baju sahaja atau kebaya mini dan potongan kebaya yang diletakkan dalam bingkai gambar.

“Saya buat dalam pelbagai saiz kerana kita nak tunjuk proses jahitan dan bagaimana bahagian-bahagian kebaya itu dilakukan.

4
Sulaman menambahkan lagi keindahan baju Kebaya Nyonya.

“Tambahan pula, kebaya merupakan produk yang memperlihatkan potongan yang cantik dan apabila dimasukkan dengan sulaman, ia nampak lebih menarik serta unik.

“Saya guna jahitan sulaman (mesin dan sulam tangan) untuk mengekalkan ciri-ciri kehalusannya,” jelasnya sambil menyatakan bahawa harga yang ditawarkan adalah bermula daripada RM250 sehingga RM8,000 mengikut jenis kain, corak serta saiz.

Khairiyah turut bernasib baik apabila produknya mendapat permintaan yang tinggi bukan sahaja dari dalam negara bahkan pernah menerima tempahan dari Singapura dan London.

“Ketika itu, individu tersebut datang ke Malaysia untuk bercuti dan apabila melihat kebaya mini tersebut, mereka berminat untuk meletakkannya dalam galeri mereka yang terdapat di London.

“Ia merupakan satu penghargaan yang tidak ternilai yang mana hasil tangan saya akhirnya dipamerkan di negara luar sekali gus berjaya membuka mata ramai orang.

“Di Singapura pula, produk saya mula mendapat permintaan daripada pelanggan selepas saya menyertai sebuah ekspo di sana dengan bimbingan pihak NCER,” ulasnya sambil menambah bahawa adakalanya beliau memerlukan masa sebulan untuk menyiapkan satu tempahan.

bel 4853
Khairiyah Ghazali bersama-sama Nurul Saidatul Nadia Zulkifli.

Tambah beliau, seni sulaman Nyonya tidaklah sukar sebaliknya ia bergantung kepada minat seseorang individu namun jika betul teknik serta cara yang diajar, pasti sesiapa sahaja mampu melakukannya.

“Masalah yang saya hadapi ketika ini adalah kekurangan tenaga mahir yang boleh menghasilkan sulaman, oleh itu semua tempahan untuk jahitan sulaman dilakukan oleh saya sendiri.

“Bagi mengatasi masalah ini, saya berhasrat untuk mengadakan kelas sulaman untuk komuniti setempat terutamanya anak muda dan golongan suri rumah yang berminat untuk belajar jahitan sulaman.

“Justeru, anak muda yang masih mencari kerja boleh datang ke bengkel saya di Penaga untuk belajar seni sulaman. Di bengkel tersebut mereka akan diajar asas sulaman dan jahitan kebaya daripada mula sehingga mampu menghasilkan sepasang baju.

“Menerusi seni ini, mereka boleh membuat perniagaan berasaskannya dan saya jamin ia dapat menjana pendapatan,” serunya.

Sementara itu, Ketua Pejabat Negeri NCIA Pulau Pinang, NURUL SAIDATUL NADIA ZULKIFLI berkata bahawa program empowerNCER-Kursus Latihan Kemahiran dan Keusahawanan bermula sejak tahun 2019 melibatkan 200 peserta di daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

“Selepas kita melihat sambutan yang amat baik daripada peserta maka kerajaan terus memberikan kepercayaan kepada NCIA untuk meneruskan program ini ke fasa kedua.

“Bagi fasa kedua, kita buat program ini di daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Selatan (SPS), Timur Laut dan Barat Daya melibatkan 800 peserta iaitu 200 peserta bagi setiap daerah.

“Kemudian kita dapati di negeri Pulau Pinang, kebanyakan peserta menunjukkan prestasi yang amat baik dan cemerlang, jadi kerajaan teruskan program ini ke fasa ketiga yang melibatkan kelima-lima daerah di negeri ini dengan membabitkan 750 peserta,” katanya kepada Buletin Mutiara.

Nurul Saidatul Nadia menyatakan bahawa melalui program tersebut, NCIA melakukan kajian pemprofilan selain melantik penyedia perkhidmatan bagi memastikan kursus-kursus yang ditawarkan adalah mengikut permintaan pasaran di daerah masing-masing.

“Selepas selesai proses pemprofilan, kami bergerak ke fasa seterusnya dengan memberikan latihan Kemahiran keusahawanan yang merangkumi teori dan latihan industri.

“Kita tawarkan pelbagai kursus seperti jahitan, bakeri dan kursus teknikal seperti membaiki telefon bimbit, penyaman udaraserta pendawaian elektrik.

Selain menjalani latihan industriselama tiga bulan, peserta juga akan dengan kemahiran insaniah yang sangat penting untuk membantu peserta mengusai pendigitalan, e-dagang dan pemasaran perniagaan secara dalam talian,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Nurul Saidatul Nadia berkata, para peserta akan dibekalkan dengan peralatan asas selepas tamat tempoh latihan bagi memastikan mereka dapat mengembangkan lagi perniagaan atau memulakan perniagaan baharu.

“Peralatan yang kami sediakan adalah mengikut saranan daripada penyedia latihan agar ia   dengan perniagaan apa yang peserta ingin atau sedang jalankan.

“Selepas itu, kami akan teruskan kepada fasa bimbingan yang mana para peserta akan dipantau bagi memastikan mencapai sasaran ditetapkan.

“Dalam proses ini, kami juga akan membantu mereka untuk meningkatkan jualan dan perkhidmatan termasuk pemasaran serta penjualan produk secara talian,” katanya sambil menambah bahawa setiap peserta perlu berusaha untuk meningkatkan perniagaan masing-masing.