GEORGE TOWN – Seramai 55 calon berjaya diterima sebagai peguam syarie Pulau Pinang dan diberi kebenaran berguam di negeri ini bermula pada 1 Januari tahun depan.
Mewakili Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bersama-sama Timbalan Yang Dipertuanya, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abd. Aziz Tajuddin menyampaikan surat tauliah kepeguaman syarie kepada mereka yang berkenaan dalam Majlis Pengisytiharan dan Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Pulau Pinang 2025 di Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pulau Pinang di sini pada 3 November 2024.
Semasa menyampaikan ucapan perasmian, Abd. Aziz berkata Kerajaan Negeri melalui MAINPP dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang (JKSNPP) berharap kesemua penerima tauliah berkenaan komited memelihara profesion sebagai pengamal undang-undang syariah yang mana sekali gus memartabat kedudukan sistem mahkamah syariah di negeri ini.
“Semua Peguam Syarie adalah sebahagian daripada tunjang kepada sistem kehakiman dan perundangan syariah.
“(Oleh itu,) seharusnya kita sebagai umat Islam harus memelihara profesion ini dan menunjukkan kewibawaan sebagai seorang peguam syarie yang sepatutnya,” jelasnya.
Turut berucap, Ketua Hakim Syarie JKSNPP, YAA Tuan Za’im Md. Yudin.
Mutfi Kerajaan Negeri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Sukki Othman; Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Pulau Pinang, YA Tuan Mohammad Zulkhairi Aziz; Ketua Pendaftar JKSNPP, Asrul Nizam Yahya; Penolong Penasihat Undang-Undang (Syariah) Negeri, Mohd. Hafiz Abd. Hamid dan Ketua Pendakwa Syarie merangkap Pengarah Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri, Mohammad Zamri Roslan turut sertai istiadat majlis penyampaian tauliah kepada para peguam syarie baharu tersebut.
Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB