GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat perkenalan Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat Perdana Menteri, Dato’ Dr. Roslan Hussin di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee; Pengarah AKM Negeri Pulau Pinang, Mohd. Termizi bin Mat Bunor @ Mohamed Nadzri dan Penolong Pengarah (AKM Negeri Pulau Pinang), Khairul Fadzreen Khairruddin.
Semasa kunjungan tersebut, antara perkara yang dibincangkan adalah mengenai perincian perancangan Program 2025 AKM (Negeri Pulau Pinang).
Roslan dalam pada itu turut memaklumkan bahawa pihaknya bakal memberi lebih tumpuan pengkhususan modul ke arah kumpulan sasar yang lebih menyeluruh bagi meningkatkan pemahaman mengenai input Malaysia MADANI dan sekaligus memupuk pengamalan nilai-nilai MADANI dalam kepimpinan setempat.
“Program sebegini wajar diteruskan bagi memperkukuhkan lagi hubungan antara AKM dan agensi luar serta memperluaskan penyebaran konsep Malaysia MADANI dalam kalangan komuniti di seluruh negara,” ujarnya.
Akhir pertemuan, Roslan sempat menyatakan hasratnya kepada Kon Yeow mengenai pelaksanaan program AKM di peringkat negeri (Pulau Pinang) kepada kumpulan sasaran komuniti bagi tahun ini.
Sebelum ini, AKM dikenali sebagai Institut Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) dan telah dipindahkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 1 Januari 2024.
Menerusi penjenamaan semula, AKM berfungsi untuk memusatkan dan mengkoordinasi modul latihan kenegaraan serta kepimpinan di bawah satu agensi.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ALISSALA THIAN