Program adaptasi iklim bandar Pulau Pinang terima geran USD10 juta – Zairil

Admin
ZAIRIL Khir Johari

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri sedang melaksanakan ‘Penang Nature-Based Climate Adaptation Programme’ (PNBCAP), iaitu program adaptasi iklim bandar pertama di Malaysia melalui geran bernilai USD10 juta yang diberikan oleh Adaptation Fund Board (AFB) di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN).

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari memberitahu bahawa pelaksanaan program tersebut dalam tempoh lima tahun dibangunkan dengan kerjasama antara UN Habitat, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) serta Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang.

“Peruntukan (USD10 juta) ini diberikan dengan syarat dan tujuan pelaksanaan program yang berkaitan dengan penyelesaian berasaskan alam semula jadi (nature-based solution),” jelasnya lagi semasa Sesi Penggulungan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Ke-15 di sini pada 29 November 2023.

Zairil memberi penjelasan tersebut sebagai menjawab perkara yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua.

Mengulas lanjut, Zairil yang juga ADUN Tanjung Bungan berkata program kolaborasi tersebut merangkumi empat komponen iaitu penghijauan bandar, pengurusan air ribut, daya tahan sosial dan kapasiti institusi.

“PNBCAP mengambil kira pendekatan menyeluruh dan kolaboratif melalui gabungan pelbagai komponen untuk menangani isu perubahan iklim.

“Rancangan ini akan menjadi rangka kerja dasar adaptasi iklim perbandaran yang pertama dalam negara dan berpotensi untuk dikembangkan serta disuai guna di bandar-bandar lain di Malaysia dan rantau ini,” jelasnya.

Di samping itu, beliau berkata pelaksanaan PNBCAP juga akan memberi manfaat seperti meningkatkan kualiti hidup di bandar, mengurangkan kejadian banjir serta kesan haba di bandar sekitar Pulau Pinang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN