Program adaptasi iklim, orang ramai dipelawa kongsi idea

Admin
featured image adaptasi iklim

GEORGE TOWN – Orang ramai termasuk para pemegang taruh, badan bukan kerajaan (NGO), entiti perniagaan dan persatuan komuniti digalakkan untuk melibatkan diri dalam Program Adaptasi Iklim Berasaskan Alam Semula Jadi Pulau Pinang atau Penang Nature-Based Climate Adaptation Programme (PNBCAP) dengan mengemukakan idea serta cadangan terbaik bagi menjayakan program tersebut.

 

Perkara itu dimaklumkan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir A. Rajendran pada sesi penglibatan awam program terbabit di Dewan Bandaraya dekat Jalan Padang Kota Lama di sini, semalam.

 

Menurut Rajendran, PNBCAP adalah usaha komprehensif dan kolaboratif yang menggabungkan set komponen yang pelbagai untuk menangani kedua-dua dimensi persekitaran dan sosial perubahan iklim dalam landskap bandar Pulau Pinang.

dato ir a rajendran
A. Rajendran memberitahu bahawa transformasi yang dilakukan adalah untuk mewujudkan bandar hijau dan persekitaran rendah karbon

Ia mempunyai lima komponen iaitu membina projek untuk menghijaukan Pulau Pinang; membina projek pengurusan banjir; penilaian kerentanan menyeluruh termasuk garis panduan dan pelan tindakan dalam komuniti yang disasarkan; program ketahanan sosial serta kapasiti institusi dan platform pertukaran pengetahuan.

 

“Selain itu, beberapa lokasi telah dipilih untuk pelaksanaan PNBCAP antaranya Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town dari kawasan Pantai Utara ke Weld Quay, Lebuh Pantai, Lebuh Chulia dan Lebuh Union.

 

“Projek perintis ini merangkumi transformasi lorong belakang dan tanah kosong yang menggabungkan laluan pejalan kaki berlorek; trek telap dan taman poket untuk mewujudkan bandar hijau dan persekitaran rendah karbon,” jelasnya.

 

Dalam sidang media yang diadakan selepas itu, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari memberitahu media bahawa beberapa lokasi telah dipilih untuk meletakkan pusat informasi dan pertanyaan.

 

“Antara di The Brown Gallery, Dewan Bandaraya bermula 7 Mac sehingga 21 April ini, di Komtar Tingkat 3 (7 Mac – 21 April), di Gurney Plaza (15 – 24 Mac) dan di Queensbay Mall (26 – 31 Mac),” katanya sambil berharap lebih ramai lagi pihak berkepentingan tampil memberikan pandangan dan mengambil bahagian dalam proses ini.

 

yb zairil
ZAIRIL Khir Johari (berbatik jingga) menurunkan tandatangan bagi merasmikan PNBCAP di The Brown Gallery, Dewan Bandaraya, semalam

Difahamkan, bagi memudahkan proses penglibatan awam PNBCAP ini, kod QR disediakan pada paparan informasi.

 

PNBCAP merupakan sebahagian program yang direncanakan menggunakan Dana Penyesuaian (AF) USD$10 juta yang diluluskan oleh Bank Dunia sebelum ini.

 

Oleh : NUR SYAKIRAH MOHD. BASRI

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT