Program Adiwira Kriket cungkil bakat atlet muda

Admin

PERSATUAN Kriket Pulau Pinang (PCA) memperkenalkan program Adiwira Kriket dalam usaha mencungkil lebih ramai atlet muda terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah rendah.

Presiden PCA, T. YOGANRAJ ketika ditemui Buletin Mutiara memberitahu bahawa pada masa sama, program tersebut juga diwujudkan dengan matlamat untuk mempopularkan semula sukan kriket di negeri ini.

T. Yoganraj.

“Sebelum ini, pencapaian pasukan kriket Pulau Pinang agak baik tetapi selepas tahun 2014, prestasi sukan ini agak merosot disebabkan tidak ada lagi pembangunan yang menyeluruh.

“Ini kerana kebanyakan atlet yang menyertai sukan kriket adalah terdiri daripada guru-guru sekolah yang mana mereka sudah meninggalkan persatuan atas pelbagai faktor dan pada masa sama usaha mencari pelapis baru semakin perlahan dijalankan.

“Sejak tahun 2019, saya mula mengambil alih pengurusan PCA dan cuba menghidupkan kembali sukan ini kerana minat yang mendalam terhadap kriket,” katanya kepada wartawan, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS ketika ditemui sempena wawancara khas dekat Sekolah Kebangsaan (SK) Stowell, Bukit Mertajam pada 16 Januari lalu.

Fokus bangunkan atlet wanita Yoganraj berkata, malangnya usaha tersebut berdepan kekangan selepas negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan COVID-19.

“Keadaan ini menyebabkan kita tidakboleh menjalankan latihan kerana PCA tidak mempunyai padang latihan sendiri.

“Biasanya kita menjalani latihan di sekolah tetapi memandangkan pelaksanaan PKP, kita tidak dibenarkan menggunakan kemudahan di sekolah.

“Jadi, kita ambil alternatif untuk menjalankan latihan asas sahaja seperti cara membaling serta menangkap bola di taman-taman awam yang dibenarkan dan keadaan tersebut berterusan selama dua tahun,” jelasnya.

Salah seorang atlet kriket wanita sedang melalukan aksi balingan bola.

 

Namun begitu menurut Yoganraj, PCA tetap menghantar pasukan dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-20 yang berlangsung pada September tahun lalu.

“Sejujurnya, pencapaian kami agak kurang baik kerana menghadapi kekalahan pada setiap perlawanan tetapi kami tetap optimis untuk bangkit pada masa akan datang,” katanya.

Yoganraj menyatakan bahawa tumpuan PCA kini adalah untuk mencungkil seramai mungkin bakat atlet wanita kerana dilihat mempunyai potensi yang tinggi untuk diangkat ke peringkat kebangsaan.

“Semasa saya ambil alih, PCA hanya mempunyai empat atlet lelaki, jadi sekarang kita fokus untuk mencungkil bakat lebih ramai atlet wanita kerana mereka juga dilihat mempunyai banyak potensi.

“Buktinya, apabila kita berjaya mendapat naib johan dalam kejohanan T20 Super Series anjuran Persatuan Kriket Malaysia (MCA) di Kuala Lumpur pada Januari lalu walaupun ini merupakan pertandingan pertama yang disertai oleh pasukan kriket wanita Pulau Pinang.

“Lebih membanggakan apabila pada peringkat akhir kita berdepan dengan pasukan Kuala Lumpur yang dibarisi oleh semua pemain profesional.

“Oleh itu, kita boleh katakan bahawa potensi sukan kriket wanita sangat tinggi dan ramai bakat yang boleh digilap pada peringkat sekolah rendah lagi,” ujarnya.

Justeru, beliau memberitahu bahawa fokus PCA ketika ini adalah untuk memperkenalkan sukan kriket dan mengesan bakat melalui sekolah-sekolah.

Salah satu pasukan yang mengambil bahagian dalam pertandingan kriket antara sekolah-sekolah peringkat negeri.

 

“Sehingga kini, kita sudah masuk ke hampir 13 sekolah termasuk sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri ini.

“Tidak semua sekolah yang kita pergi berminat, jadi kita terpaksa adakan kursus kejurulatihan dan sekiranya ada yang berminat kita akan ambil sebagai atlet,” ujarnya sambil menambah bahawa jumlah atlet yang bernaung di bawah PCA kini semakin bertambah.

Cabaran

Ditanya mengenai kekangan yang dihadapi oleh PCA dalam usaha mengangkat martabat sukan kriket di negeri ini, Yoganraj berkata bahawa selain tempat latihan, cabaran utama adalah dari segi kewangan serta tenaga kerja.

“Namun begitu, PCA bernasib baik kerana berjaya mendapatkan khidmat jurulatih daripada bekas atlet kebangsaan India yang mana kita berikan beliau sedikit elaun untuk melatih bakat-bakat baru.

“Dari segi bantuan kewangan pula, pada masa ini PCA hanya menerima sumbangan daripada Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, Chong Eng dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, YB Steven Sim Chee Keong.

“Tanpa bantuan mereka memang sukar untuk PCA bergerak kerana kita tidak mengambil apa-apa bayaran daripada atlet memandangkan matlamat kami adalah untuk menggalakkan lebih ramai menyertai sukan kriket,” katanya.

Antara piala yang pernah dimenangi.

Selain itu tambah beliau, guru-guru yang mengajar sukan kriket pada masa kini semakin berkurangan berbanding sukan lain yang mempunyai program pembangunan tersendiri dari peringkat akar umbi.

“Ada sesetengah sekolah yang ada atlet tetapi tidak mempunyai guru untuk melatih mereka… tambahan pula kebanyakan sekolah tidak mempunyai fasiliti lengkap untuk menjalani latihan yang intensif.

“Oleh itu, kita akan bawa pelajar-pelajar yang terpilih untuk menjalani latihan di SK Stowell kerana sekolah ini sahaja di Seberang Perai yang mempunyai kemudahan untuk latihan.

“Sebenarnya, ada sebuah lagi sekolah yang mempunyai fasiliti latihan kriket iaitu dekat Penang Free School di bahagian pulau tetapi masalahnya di sekolah ini kita terpaksa bersaing dengan pasukan kriket lelaki kerana mereka juga menjalani latihan di sana.

“Justeru, kita sedang berusaha untuk menambah satu lagi sekolah sebagai pusat latihan kriket iaitu di SK Sri Permai dekat Bayan Lepas,” katanya.

Usaha mempopularkan kriket

Walaupun berdepan pelbagai kekangan, Yoganraj menyatakan bahawa pihaknya tidak pernah berputus asa dalam usaha mempopularkan semula sukan kriket di Pulau Pinang.

Serentak itu menurut beliau, PCA pada masa kini sedang giat mengadakan lebih banyak pertandingan sebagai inisiatif untuk memperkenalkan lagi sukan tersebut.

Permainan kriket memerlukan teknik-teknik tertentu.

“Selain itu, kita juga akan menjalani lebih banyak latihan di tempat-tempat terbuka seperti Padang Polo di samping berusaha memenangi lebih banyak pertandingan yang disertai pada masa akan datang.

“Sebenarnya, sukan kriket mempunyai masa depan yang cerah di Pulau Pinang dan Malaysia kerana ia mempunyai banyak pertandingan di peringkat Asia dan dunia, cuma masalah kita adalah isu kekurangan pemain profesional.

“Oleh itu, pada tahun ini PCA merancang untuk menghantar lima pemain kita ke India bagi menimba pengalaman sebagai salah satu usaha untuk melahirkan pemain profesional pada masa akan datang.

“Kita sudah adakan perbincangan dengan persatuan kriket di India untuk tujuan ini, dan kita perlu membayar RM3,000 untuk seorang pemain bagi menjalani latihan di sana selama sebulan,” ulasnya lanjut.

Mengulas mengenai harapan terhadap masa depan sukan kriket, Yoganraj berkata bahawa PCA kini sedang berusaha mendapatkan sebidang tanah untuk dijadikan sebagai padang latihan sendiri.

“Kita pernah bawa isu ini kepada Kerajaan Negeri tetapi saiz tanah yang kami perlukan agak luas iaitu kira-kira 10 ekar, jadi Kerajaan Negeri tidak dapat tunaikan hasrat kita ketika ini memandangkan Pulau Pinang mempunyai isu kekurangan tanah,” katanya.

Beliau berkata, PCA juga telah menubuhkan kelab sendiri dekat Taman Tembikai, Bukit Mertajam sebagai langkah lebih serius dalam mengembangkan lagi sukan kriket.

“Sekiranya ada ibu bapa yang berminat untuk menghantar anak-anak mereka menjalani latihan, kita sudah tubuhkan satu akademi kriket untuk pelajar bawah 12 tahun.

“Akademi ini beroperasi pada setiap hari Selasa hingga Sabtu tetapi untuk menjalani latihan di sini ibu bapa dikenakan sedikit bayaran.

“Selain itu, kami juga mengalu- alukan sekiranya ada mana-mana persatuan kriket yang berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan PCA dengan menghubungi talian 012-406 2348,” katanya mengakhiri bicara.

Potensi

Pada sesi sama, Buletin Mutiara turut berpeluang menemu bual ketua jurulatih pasukan kriket, RAKESH KUMAR JEEVA yang mempunyai pengalaman luas dalam sukan tersebut.

Rakesh Kumar Jeeva.

Menurut beliau, penglibatan beliau dalam sukan kriket di Malaysia bermula sebagai jurulatih sambilan di bawah Program Adiwira untuk melatih atlet kriket lelaki pada tahun 2019.

Kini, di bawah program yang sama, beliau akan memfokuskan kepada usaha mengesan bakat-bakat baru bagi atlet wanita pada peringkat sekolah rendah untuk dilatih menjadi atlet kriket negeri pada masa akan datang.

Mengulas lanjut, Rakesh Kumar menyatakan bahawa di bawah program latihan berstruktur PCA, pemain kriket yang kebanyakannya pelajar perempuan berumur antara 14 dan 16 tahun kembali menjalani sesi latihan secara konsisten sejurus selepas tamat pelaksanaan PKP.

“Pasukan kami turut mendapat bantuan daripada tiga pemain senior dari skuad kebangsaan untuk membimbing atlet terutamanya semasa persediaan menghadapi kejohanan MCA T20 Super Series pada Januari lalu,” ujarnya.

Tambah beliau, atlet yang dilatih merupakan pasukan baru ditubuhkan pada tahun ini yang menggabungkan pelajar-pelajar dari beberapa sekolah sekitar Bukit Mertajam.

“Ini termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Bukit Mertajam, SMK Convent Bukit Mertajam, SMK Machang Bubuk dan SMK Bukit Mertajam yang mana sekolah-sekolah ini merupakan sebahagian daripada tumpuan PCA untuk pembangunan kriket wanita di negeri ini,” ulasnya lanjut.

Menyentuh mengenai potensi sukan kriket di Malaysia dan Pulau Pinang khasnya, Rakesh Kumar memberitahu bahawa sukan tersebut mengalami banyak perkembangan terutamanya pasca penularan pandemik COVID-19.

“Sebelum pandemik melanda, saya melihat kriket banyak disertai oleh orang asing tetapi sekarang semakin ramai rakyat tempatan mula mengambil bahagian dalam sukan ini termasuk pada peringkat sekolah.

“Di Pulau Pinang juga, usaha untuk membangunkan sukan ini dilihat sangat giat dilakukan terutamanya oleh PCA sehingga kita mampu membangunkan sebuah pasukan kriket wanita dalam masa yang singkat,” katanya.

Nur Tasnim Elisa Mohd. Asmadi.

Sementara itu, NUR TASNIM ELISA MOHD. ASMADI, 16, salah seorang atlet yang terlibat dalam kejohanan MCA T20 Super Series berkata bahawa beliau tidak menyangka pertandingan pertama yang disertainya itu membawa gelaran sebagai naib johan.

“Kami sebenarnya tidak menyangka mampu pergi sehingga ke peringkat akhir kerana pada awalnya kami hanya sasarkan peringkat suku akhir sahaja memandangkan pasukan kami baru mula menjalani latihan beberapa bulan lalu.

“Alhamdulillah… rezeki menyebelahi kami walaupun tiga tahun tidak jalani latihan tetapi berjaya juga masuk ke peringkat akhir dan mendapat naib johan,” ujarnya penuh semangat.

Menurut Nur Tasnim Elisa, selain semangat berpasukan, kejayaan tersebut turut disumbangkan oleh tunjuk ajar yang diberikan oleh tiga atlet profesional kebangsaan.

“Mereka banyak memberi tunjuk ajar untuk memperbaiki corak permainan kami sehingga kami mampu muncul sebagai naib juara pada kejohanan tersebut,” jelasnya yang mula bermain kriket sejak berumur 12 tahun lagi.

Difahamkan, Nur Tasnim Elisa yang kini merupakan pelajar di SMK Tinggi Bukit Mertajam sebelum ini pernah mewakili negeri Pulau Pinang dalam pertandingan kriket bawah 12 tahun yang berlangsung di Selangor.

Beliau memberitahu bahawa kemenangan pasukannya pada kejohanan baru-baru ini ternyata menaikkan semangat mereka untuk menceburi sukan kriket secara lebih serius.

“Sekarang timbul cita-cita untuk muncul sebagai pemain profesional dan mampu mewakili negara suatu hari nanti,” katanya sambil menambah bahawa pemain kriket kebangsaan, Aina Najwa Abdul Rahman merupakan salah seorang atlet profesional yang menjadi inspirasinya ketika ini.

Darling Nada Zahra Diyanah Ahmad Fadzil.

Nada sama turut dikongsi oleh seorang lagi atlet DARLING NADA ZAHRA DIYANAH AHMAD FADZIL, 16, dari SMK Tinggi Bukit Mertajam.

“Saya mula bermain kriket sejak berumur 12 tahun lagi tetapi terpaksa berhenti seketika semasa masuk ke Tingkatan 1 kerana pandemik COVID-19.

“Kemudian pada tahun 2022, kami buat keputusan untuk kembali membentuk pasukan dan menjalanilatihan sebelum berjaya dipilih menyertai kejohanan MCA T20 Super Series.

“Alhamdulillah… walaupun berlatih dalam masa yang sangat singkat tetapi kami berjaya mendapat gelaran naib johan,” ujarnya yang turut bergiat aktif dalam beberapa sukan lain seperti bola jaring, bola baling, bola tampar dan memanah.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS