Program agih bakul makanan di PPR anjuran LPNPP dipuji Exco

Admin
JAGDEEP Singh Deo berucap dalam acara berkaitan di Dewan Orang Ramai Blok KG, Taman Free School di sini pada pagi tadi.
DATUK KERAMAT – Buat julung kali agensi negeri, Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) mengambil tanggungjawab yang lebih berat dengan menganjurkan sendiri program agihan bakul makanan kepada golongan terpilih yang terjejas dek wabak COVID-19, sekitar kawasan perumahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini.
Menurut Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo, fasa permulaan program tersebut melibatkan agihan 1,000 pek bakul makanan dengan nilai setiap satu adalah RM50.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat itu berkata lagi, sebanyak 20 bakul makanan akan diagihkan secara bersemuka kepada penerima terpilih di Blok KG Taman Free School pada pagi ini, sementara baki 160 pek lain diagihkan kemudiaan melalui bantuan anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat mengikut prosedur operasi standard (SOP) berkaitan.
JAGDEEP Singh Deo (tengah) menyantuni dua penerima terpilih program pemberian bakul makanan yang dianjurkan oleh LPNPP di  Blok KG Taman Free School di sini.
“Acara pada pagi ini adalah begitu bermakna kerana saya telah menyatakan sebelum ini bahawa semasa pandemik kita perlu membantu pelbagai pihak yang menghadapi kesusahan, dan ini merupakan program pertama anjuran LPNPP sendiri mengagihkan bakul-bakul makanan.
“Di bawah program baharu ini, kita akan memberi bakul-bakul makanan sebanyak 1,000 di kawasan kediaman (berkaitan) Program Perumahan Rakyat yang dikenal pasti,” jelasnya di sini pada 18 Oktober 2021 sambil memuji inisiatif Pengurus Besar LPNPP, ‘Ainul Fadhilah Samsudi serta agensi negeri berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Jagdeep turut mengulangi komitmen beliau memastikan rakyat di negeri ini mampu mendiami Rumah Mampu Milik (RMM) yang lebih selesa pada masa hadapan.
“Kita akan membuat pembaharuan semula skim perumahan yang sedia ada dengan mengambil kira isu bank tanah yang terhad.
“Antara, akan memperkenalkan skim perumahan baharu (secara bertingkat) di Persiaran Mahsuri (dekat Kawasan Parlimen Bayan Baru),”ujarnya lagi sambil memberitahu bahawa pihaknya komited untuk memastikan perbekalan unit RMM untuk rakyat Malaysia di Pulau Pinang adalah mencukupi.
Tambah Jagdeep, hasil perbincangan dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican setakat ini menemukan keputusan bersama iaitu perlu untuk meminda undang-undang berkaitan demi membolehkan agenda pembaharuan skim perumahan direalisasikan pada masa hadapan.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR