BUKIT TENGAH – Pertubuhan amal One Hope petang ini menyerahkan sumbangan barangan kepada 2,500 golongan terpilih, selain menyediakan 7,000 makanan percuma untuk meraikan orang awam yang menyertai program kebajikan di sini.
Ketika berucap, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memuji inisiatif beberapa syarikat korporat yang menaja program amal tersebut.
“Kerana Kerajaan kurang wang, kita perlukan anda (One Hope Charity and Welfare Bhd.) untuk melaksanakan program amal seperti ini.
“Apabila (keadaan kewangan negara) kita pulih dalam satu, dua, tiga tahun lagi, Kerajaan akan ambil alih tugas (melaksanakan program kebajikan seumpama) ini,” jelasnya yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan di Dewan Konsep Autocity Juru pada 12 Ogos 2018.
Berucap di pentas sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow turut memberitahu bahawa penganjuran program amal tersebut menyerlahkan sikap prihatin sektor korporat terhadap golongan terpilih di negeri ini.
Barisan Exco Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung; Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani; Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahaya dan Timbalan Menteri Belia & Sukan, Steven Sim Chee Keong antara pemimpin Pakatan Harapan Negeri yang menyertai majlis amal tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI
Video : DARWINA MOHD. DAUD