Program Anak Emas PP RM1oo ‘one-off’ pada Oktober 2011

 

OLEH : ZULIANA AZIZ

GEORGE TOWN – Rata-rata rakyat Pulau Pinang menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) berhubung pelaksanaan Program Anak Emas Pulau Pinang (PAEPP) iaitu sumbangan RM100 wang tunai secara ‘one-off’ kepada setiap bayi kelahiran negeri ini yang pembayarannya dijangka pada bulan depan (Oktober 2011).

Pelaksanaan program pertama di Malaysia yang bertujuan meraikan tambahan anak Pulau Pinang membuktikan bahawa Kerajaan Negeri PR adalah sebuah kerajaan berjiwa rakyat yang dengar suara rakyat, buat kerja rakyat dan berikan harapan kepada rakyat.

FITRI Abdilah Abdul Razak.
FITRI Abdilah Abdul Razak.

Bagi seorang Pembantu Am, Fitri Abdilah Abdul Razak, 26, beliau berpendapat bahawa program sebegini dapat membantu meringankan beban kewangan terutama bagi mereka yang kurang berkemampuan.

Pelaksanaan program yang memberi penekanan terhadap keluarga yang berpendapatan isi rumahnya tidak melebihi RM4,000 sebulan adalah amat bertepatan. Sebagaimana yang kita maklum bahawa kos perbelanjaan bersalin adalah amat tinggi, tambahan pula, sekiranya bayi yang dilahirkan mengalami komplikasi dan membabitkan prosedur pembedahan.

Walaupun hanya RM100, namun, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh sesebuah keluarga. Sebagai tambahan, ia turut menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri adalah prihatin dan berjiwa rakyat,” katanya di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, bagi Pembantu Tadbir, Yusnita Yusop, 28, wang RM100 yang diberikan secara ‘one-off’ ibarat saguhati daripada Kerajaan Negeri yang prihatin akan kebajikan rakyat Pulau Pinang.

YUSNITA Yusop.
YUSNITA Yusop.

Wang yang diberikan membolehkan ibu bapa membeli barang keperluan bayi mereka terutamanya kepada ibu-ibu baru yang lazimnya memerlukan peruntukan besar untuk membeli kelengkapan serta peralatan-peralatan bayi sulung yang baru dilahirkan,” kata Yusnita yang kini dikurniakan seorang cahaya mata kepada Buletin Mutiara (BM).

Bagi meraikan tambahan anak Pulau Pinang yang baru, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah bersetuju untuk memberikan RM100 wang tunai secara ‘one-off’ kepada setiap bayi kelahiran Pulau Pinang mulai tahun ini (2011).

Pemberian wang tunai ini ekoran terdapat beberapa pihak mencadangkan supaya Kerajaan Negeri mempertimbangkan sumbangan RM100 kepada golongan yang baru lahir selepas kejayaan pelaksanaan Program Penghargaan Warga Emas (PPWE) yang turut menyumbangkan RM100 setiap tahun kepada warga emas berusia 60 tahun dan ke atas serta bayaran khairat kematian sebanyak RM1,000 ‘one-off’ kepada waris bagi pengurusan jenazah.

LY Thi Tam.
LY Thi Tam.

Bagi Ly Thi Tam, 25, suri rumah, beliau menyokong penuh program PAEPP kerana program kebajikan sebegini belum pernah dibuat di mana-mana negeri di Malaysia dan Pulau Pinang bakal menjadi perintis kepada pelaksanaannya.

Walaupun sudah agak terlewat bagi saya untuk mendapat saguhati ini, namun saya amat berbangga menjadi warga Pulau Pinang yang kini menerajui pelbagai bidang dari segi sosial dan ekonomi,” ujar beliau yang merupakan ibu kepada anak kembar yang kini berusia dua tahun.

Penjawat Awam, Stella Francise Xavier, 35, pula menyatakan bahawa kemajuan yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri sangat bagus. Pelbagai program kebajikan telah diimplementasikan untuk rakyat Pulau Pinang khasnya dan masyarakat umum amnya.

STELLA Francise Xavier.
STELLA Francise Xavier.

Bagi seorang ‘purchaser’ di sebuah syarikat perkapalan, Mahathir Abdul Rahman, 30-an, beliau menganggap pemberian wang tunai RM100 ini sangat bermakna bagi ibu bapa di negeri ini.

Kami hanya mahukan sebuah kerajaan yang adil, saling memahami dan membantu dalam kehidupan harian. Moga Kerajaan Negeri akan terus maju dan terus membantu setiap penduduk di negeri ini dengan program yang menjana keuntungan bersama,” ujar Mahathir.

SYARAT KELAYAKAN PERMOHONAN PAEPP :

  • Salah seorang ibu/bapa merupakan pengundi berdaftar Pulau Pinang.

  • Pendapatan isi rumah tidak melebihi RM4,000 sebulan.

  • Bayi yang dilahirkan bermula pada 1 Januari 2011 di Pulau Pinang.