Program asas renang dan keselamatan air tajaan ADUN Air Itam mahirkan 60 kanak-kanak 

AIR ITAM – Seramai 60 orang kanak-kanak Program Asas Berenang dan Keselamatan Air tajaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang menamatkan enam sesi latihan percuma hari ini.

Menurut Soon Siang, melalui kelas tersebut, kesemua 60 kanak-kanak yang pada asalnya langsung tidak mempunya asas renang kini sudah mahir teknik-teknik tersebut.

“Kelas ini dijayakan melalui peruntukan RM3,600 dari pejabat saya dengan usahasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan pengurusan Kompleks Sukan Permata Paya Terubong juga.

“Saya berharap usaha mereka tidak terhenti di sini sebab saya nampak ada kanak-kanak ini sebenarnya berbakat yang mungkin boleh diketengahkan untuk mewakili Pulau Pinang di peringkat SUKMA (Sukan Malaysia) atau menjadi atlet kebangsaan kelak,” ujar beliau ketika berucap pada majlis penyampaian sijil bagi Program Asas Berenang dan Keselamatan Air KADUN Air Itam tersebut.

Atas sambutan menggalakkan yang diterima, Soon Siang berhasrat untuk meneruskan lagi program tersebut pada tahun hadapan.

“Kita buka untuk 60 kanak-kanak sahaja secara percuma tahun ini tetapi kita terima lebih dari 100 permohonan jadi bakinya mungkin boleh sertai kelas ini pada tahun hadapan,” katanya.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI