Program Bengkel Kebun Komuniti diharap beri impak besar kepada masyarakat – Datuk Bandar MBSP

SEBERANG JAYA – Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad berharap agar penganjuran Bengkel Kebun Bandar dapat memberi impak besar kepada masyarakat.

Beliau berkata, program yang julung kali dianjurkan itu adalah kolaborasi di antara MBSP bersama-sama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan URBANEST Sdn. Bhd. untuk memberikan pendedahan mengenai aktiviti penanaman sayur-sayuran.

“Program Bengkel Kebun Bandar yang diadakan pada 6 hingga 13 Mac lalu dekat Pusat Pendidikan Hijau adalah melibatkan tenaga pengajar dari universiti tempatan serta antarabangsa dan telah disertai oleh seramai 26 orang peserta.

Para peserta yang mengambil bahagian menerima sijil penghargaan masing-masing.

“Selain penanaman sayur-sayuran, peserta juga diajar dan digalakkan untuk menyediakan baja organik melalui sistem pengkomposan yang dapat membantu mengurangkan sisa makanan daripada dibuang sebagai sisa baki,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup International Programme Economic Empowerment (Pusat Pendidikan Hijau Usahasama MBSP-UPSI-University of Colombia USA) dekat Menara MBSP Bandar Perda di sini pagi tadi.

Turut hadir,  Ahli Majlis bagi MBSP; Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Baderul Amin Abdul Hamid; Dekan Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi UPSI, Prof. Madya Dr. Ing Maizatul Hayati Mohamad Yatim; Pengarah Urusan URBANEST Sdn. Bhd., G. Karthigayan serta Pengarah Urban Agriculture and Gardening Education University of The District of Colombia, United States, Mchezaji “Che” Axum.

Mengulas lanjut, Azhar berkata bahawa amalan kitar semula dan pengkomposan dalam kalangan warga Seberang Perai merupakan langkah pertama ke arah sisa sifar di kawasan pentadbiran Majlis tersebut.

“Malah, pengkomposan juga akan mengurangkan sampah yang dibawa dan silupus di Tapak Pelupusan Pulau Burung selain sejajar dengan misi MBSP untuk menjadikan Seberang Perai sebagai bandar raya berdaya tahan, inklusif hijau, kompetitif dan bandar pintar dipacu oleh teknologi,” ulasnya lagi.

Dalam pada itu, Maizatul Hayati berkata MBSP merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negara ini yang menjalankan kolaborasi dengan universiti dalam konteks Pendidikan dan juga penyelidikan.

“MBSP juga boleh dianggap sebagai satu pusat rujukan untuk melatih dan mendidik komuniti tempatan di negeri ini.

“Oleh itu, UPSI sangat berterima kasih dan berbesar hati sekiranya projek ini diteruskan,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS