TELOK AIR TAWAR – Program Pembersihan Pantai Antarabangsa Pulau Pinang 2010 yang diadakan secara serentak bersama 100 buah negara lain di seluruh dunia berjaya mengumpulkan 2,361.53 kilogram (kg) pelbagai jenis sampah yang selama ini mengotori pesisiran Pantai Robina dan Pantai Bersih di sini baru-baru ini.
Daripada jenis sampah yang dikumpulkan, cebisan plastik mencatatkan jumlah tertinggi dengan 5,196 ; rokok dan puntung rokok (3,510) ; pembalut makanan dan bekas makanan (2,079) ; penyedut minuman (1,977) ; botol minuman (1,650) dan lain-lain bahan buangan seperti cawan, pinggan, garpu, pisau dan sudu (1,626) ; botol minuman kaca (1,182) ; kondom ; lampin pakai buang serta lain-lain.
Serentak dengan program berkenaan, turut dilancarkan adalah laman web Negeri Hijau, http://greenstate.penang.gov.my .
Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Program Pembersihan Pantai Antarabangsa Pulau Pinang 2010 diadakan selaras dengan usaha untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri bertaraf antarabangsa.
“Pulau Pinang yang dikelilingi oleh laut di bahagian pulau dan sebahagian di daratan semenanjung mempunyai pantai-pantai menarik dengan 201.4 kilometer (km) panjang di bahagian pulau, 8.3km di pulau-pulau kecil seperti Pulau Jerejak, Pulau Aman serta Pulau Rimau dan 66.4km di bahagian daratan Seberang Perai.
“Pesisiran pantai Seberang Perai sepanjang 30km merupakan kawasan pantai berpasir yang sesuai untuk aktiviti berkelah dan riadah ; 70km kawasan bakau merupakan kawasan sumber pembiakkan ikan ; 30km kawasan pembangunan pelabuhan ; 40km kawasan berlumpur dan 20km kawasan berbatu. Pulau Pinang juga mempunyai 150 sistem sungai yang mengalir ke laut.
“Dengan sumber-sumber asli ini, saya menyeru semua pihak termasuk penduduk tempatan dan orang ramai yang sering berkunjung ke pantai-pantai di Pulau Pinang untuk bersama Kerajaan Negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) komited di dalam usaha pemuliharaan pantai negeri ini,’’ katanya pada majlis Pelancaran Program Pembersihan Pantai Antarabangsa Pulau Pinang 2010 di sini baru-baru ini.
Bersempena dengan penganjuran program yang julung kali diadakan di Seberang Perai, kira-kira 1,000 kakitangan badan-badan korporat seperti Nokia serta Toray, NGO, mahasiswa mahasiswi Universiti Sains Malaysia (USM) dan orang-perseorangan telah turun padang bagi menjayakan inisiatif tersebut.
Sementara itu, menurut seorang Pengurus Jurutera Dell, Helena Chin Kayie, 42, berkata, bagi merealisasikan misi Pulau Pinang untuk muncul sebagai negeri bertaraf antarabangsa, beliau, suami serta dua anaknya sering peka dan melibatkan diri dengan program pemuliharaan alam sekitar yang diadakan dari semasa ke semasa.
“Selain memberi pendedahan awal kepada anak-anak saya yang masing-masing berusia 11 dan tujuh tahun, program pemuliharaan alam sekitar adalah penting bagi generasi akan datang,’’ katanya ketika ditemui SUARA CAT di sini.
Kakitangan Unit Perancangan Ekonomi (UPEN) negeri, Wardah Mohamed Hassan, 30, menyatakan bahawa beliau bersama dua rakan sepejabat lain dengan sukarela menyahut seruan Kerajaan Negeri dalam menjayakan program berkenaan.
“Walaupun terpaksa bangun pagi, matlamat kami adalah untuk membersihkan pantai-pantai negeri Pulau Pinang. Kami ingin bersihkan negeri Pulau Pinang dan sekiranya ada peluang, kami akan dedahkan program sebegini kepada ahli keluarga kami juga,’’ jelasnya sambil ditemani Mohd. Izham Md. Amin, 25, dan Khairol Azri Azmi, 29.
Dalam pada itu, Pembantu Teknikal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang Bahagian Utara, G. Subaini, 29, menjelaskan bahawa program pembersihan pantai perlu diadakan secara kerap bagi memastikan wujudnya kesedaran dalam kalangan masyarakat setempat terutamanya pengunjung-pengunjung yang sering bertindak mengotorkan kawasan pantai demi kepentingan sendiri.
”Walaupun JPS memainkan peranan utama dalam usaha pemuliharaan ini, namun bertepuk sebelah tangan adalah tidak berguna sekiranya masyarakat terus menanam sikap buruk dan mementingkan diri sendiri,’’ tegas beliau.
Habis.