BAGAN JERMAL – Program ‘Drive Safe With Us, Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya diharap dapat memupuk kesedaran kepentingan mengutamakan keselamatan penunggang motosikal ketika menggunakan jalan raya, ujar Exco Belia & Sukan, Soon Lip Chee.
Katanya, program tersebut menekankan kepentingan dalam pematuhan undang-undang dan peraturan lalu lintas di jalan raya di samping menunggang secara berhemah dan bertimbang rasa.
“Program ini sememangnya memberikan peringatan keselamatan jalan raya kepada penunggang motosikal dengan menjalankan advokasi khas motosikal.
“Oleh itu, Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bagan Jermal menyediakan sebanyak 2,000 unit mentol lampu brek supaya penunggang motosikal dapat menukar lampu brek yang rosak,” ujarnya dalam satu sidang media dekat perkarangan stesen minyak Petronas Raja Uda semalam.
Hadir sama, Pegawai Khas Ahli Parlime Bagan, Tan Khong Chong; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Simpah, Tee Chun Chai; wakil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Hasbullah Abu Bakar; Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Pulau Pinang, M. Thurkahthevi; Timbalan Pengarah JKJR, Roziah Aziz dan Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Motosikal Negeri Pulau Pinang, Ng Chee Yong.
Selain itu, sebanyak 1,000 helai baju hujan juga akan disumbangkan oleh Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bagan dan Cape Technology Sdn. Bhd.
“Baju hujan tersebut akan diedarkan kepada penunggang motosikal selepas pemeriksaan motosikal dijalankan,” serunya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.
Justeru, beliau mengajak orang ramai khususnya para penunggang motosikal untuk menyertai program percuma ini yang dijadualkan berlangsung pada 29 September, jam 9:00 pagi hingga 3:00 petang dekat stesen minyak Petronas Raja Uda.
Teks & Gambar : SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN