Program empowerNCER: Kemahiran dan Keusahawanan beri manfaat kepada golongan B40

Admin
img 20241019 wa0012

BAGAN JERMAL – Seramai 450 peserta program empowerNCER: Kemahiran dan Keusahawanan bagi daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS) masing-masing menerima sijil tamat latihan.

Majlis penganugerahan sijil tamat latihan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dekat PICCA@ Butterworth, di sini sebentar tadi.

Dalam ucapan beliau, Kon Yeow berkata bahawa pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) termasuk Program empowerNCER telah memberi manfaat kepada rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40).

“Program empowerNCER: Kemahiran Dan Keusahawanan ini menyasarkan penyertaan seramai 150 orang yang berkelayakan daripada kumpulan B40 dari setiap daerah di Negeri Pulau Pinang.

“Terdapat 14 jenis Latihan Teknikal Dan Vokasional (TVET) telah ditawarkan kepada peserta empowerNCER di ketiga-tiga daerah berkenaan yang dikelaskan mengikut tahap berdasarkan kapasiti perniagaan dan pendapatan masing-masing.

“Pelaksanaan program ni juga telah meningkatkan skala perniagaan peserta dan melengkapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan ciri-ciri keusahawanan yang berdaya maju,” katanya ketika berucap.

img 20241019 wa0014img 20241019 wa0036img 20241019 wa0030img 20241019 wa0020img 20241019 wa0022

Hadir sama, Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan; Pegawai Daerah SPU, Rosmin Yaakob; Pegawai Daerah SPT, Dato’ Kamarul Haizat Koderat; Ketua Penolong Pegawai Daerah SPS, Muhaili Mat Saat; Pengarah Jabatan Ekosistem Perniagaan dan Sekretariat Pejabat Ketua Eksekutif NCIA, Datin Shahdee Dato’ Ahmad dan Pengarah Knowledge Centre (PKC), Urusan Profesional, N. Selva.

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa Program empowerNCER turut memberi bimbingan menyeluruh kepada peserta dalam aspek formalisasi perniagaan, peningkatan mutu produk, pendigitalan serta pendedahan pasaran melalui penyertaan dalam ekspo dan karnival.

“Selain itu, pelaksanaan program empowerNCER ini juga memberi tumpuan kepada penempatan pekerjaan bagi menyokong ekosistem dan keperluan bakat oleh pelabur yang membolehkan peserta mencapai kestabilan dan kemampanan ekonomi.

“Justeru, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak dan agensi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung, serta tenaga pengajar yang tidak pernah mengenal erti penat dan jemu dalam melahirkan modal insan dan usahawan yang berkualiti di negeri ini,” ujarnya.

Pada masa sama, Kon Yeow memaklumkan bahawa NCIA juga giat membangunkan projek-projek berimpak tinggi di negeri ini seperti Galeri Arkeologi Guar Kepah dan Penang Durian Valley @ Relau.

“Galeri Arkeologi Guar Kepah telah siap pembinaannya dan telah diserahkan kepada Perbadanan Ketua Menteri serta dijangka dibuka tidak lama lagi.

“Penang Durian Valley@Relau pula dijangka akan siap pada tahun 2026.

“Oleh itu, saya sarankan kepada semua usahawan terlibat untuk mengambil peluang-peluang yang muncul daripada kesan limpahan ekonomi projek-projek seperti ini untuk mengembangkan perniagaan masing-masing,” serunya.

Sementara itu, Mohamad Haris yang turut berucap sebelum itu berkata bahawa sejak 2019, program EmpowerNCER telah memberi manfaat kepada lebih 12,000 peserta di serata NCER dengan purata pencapaian peningkatan pendapatan sebanyak 316 peratus.

“Daripada jumlah tersebut, seramai hampir 10,000 peserta telah menceburi bidang keusahawanan manakala lebih 1,500 telah diserap dalam bidang pekerjaan yang dibimbing oleh penyedia perkhidmatan.

“Secara khususnya pula, bagi peserta empowerNCER sesi 2022/2024 di Pulau Pinang, seramai 652 daripada 750 peserta sedang bergiat aktif di dalam bidang keusahawanan dengan pencapaian peningkatan pendapatan sebanyak 87 peratus, melepasi sasaran awal iaitu sebanyak 80 peratus,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT