Program Jantung Sihat, Hidup Ceria galak masyarakat amal gaya hidup sihat

Admin

BAYAN LEPAS – Program Jantung Sihat, Hidup Ceria anjuran Hospital Pantai Pulau Pinang adalah bertujuan mewujudkan kesedaran mengenai kesihatan jantung serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Pulau Pinang, Pan Wen Lek berkata, penganjuran program berkenaan merupakan salah satu kempen di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) hospital berkenaan bagi menyalurkan maklumat berkaitan penyakit kardiovaskular.

“Dengan memberi maklumat atau pendedahan tentang pencegahan, pengesanan, rawatan dan juga faktor risiko serangan jantung kami (Hospital Pantai Pulau Pinang) berharap ianya akan dapat meningkatkan kualiti hidup warga negeri.

“Selain itu, saya ingin memperkenalkan kempen terbaharu kami iaitu Inisiatif Kejiranan Sihat dan aplikasi PantaiPG App 2.0 kepada warga negeri,” katanya pada program berkaitan yang berlangsung dekat Padang Persatuan Penduduk Taman Sri Nibong, di sini 7 September lalu.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Nibong Besar, Mohd. Shawal Ahmed dan Pengerusi MPKK Sungai Nibong Pantai Rusli Abdul Rashid.

Turut hadir, Pengerusi MPKK Sungai Nibong Kecil, Ramli; ‘Community Health Leader’ (COMBI), Prof. Madya Dr. Wong Chow Jeng dan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Sri Nibong, Jeffrey Ho Thin Chow.

Mengulas lanjut, Wen Lek memaklumkan bahawa Inisiatif Kejiranan Sihat yang bakal dilancarkan pada 20 Oktober ini merupakan salah satu perkhidmatan tambahan kepada komuniti setempat khususnya yang berada dalam lingkungan 10 kilometer (km) dari Hospital Pantai Pulau Pinang.

“Kedua, aplikasi PantaiPG App 2.0 bukan hanya menyediakan perkhidmatan kepada pesakit malah juga menyediakan kemudahan temu janji dengan doktor melalui telefon pintar dan membantu mengesan klinik yang berdekatan berdasarkan lokasi doktor ataupun pesakit.

“Justeru, inisiatif yang dilaksanakan oleh Hospital Pantai Pulau Pinang adalah untuk membantu dan memudahkan komuniti supaya dapat mengakses pelbagai kemudahan terhadap perkhidmatan kesihatan,” katanya lagi.

Difahamkan lebih kurang 800 pengunjung mengunakan pelbagai perkhidmatan pemeriksaan kesihatan di kaunter-kaunter disediakan sepanjang program berlangsung.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: HOSPITAL PANTAI PULAU PINANG