Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
SEBERANG JAYA – Melalui Program Jelajah Desa 2018 di bawah seliaan MMK Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, ianya diharap dapat mengeratkan lagi hubungan antara agensi-agensi kerajaan dengan rakyat di negeri ini.
Afif dalam ucapan pada majlis penutupan program berkaitan berkata, Jelajah Desa adalah cara untuk beliau membuat pemantauan di lapangan berhubung tahap serta mutu kerja yang telah dilaksanakan pegawai mahupun agensi pelaksana bertanggungjawab.
“Saya turun padang supaya dapat bermuhasabah sambil mengetahui keperluan masyarakat desa dan seterusnya membantu golongan sasar meningkatkan taraf hidup masing-masing melalui peluang serta bantuan daripada pihak kerajaan.
“Contohnya, kita pergi tengok rumah sudah uzur, kita bantu, kita siapkan kelengkapan untuk usahawan berniaga kerana kita ingin dan beri kesaksamaan kepada rakyat,’’ ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya bersempena program Jelajah Desa 2018 Peringkat Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dekat Kampung Padang Tembusu, Permatang Pauh di sini baru-baru ini.
Hadir sama, ADUN Penanti, Dr. Norlela Ariffin, pegawai-pegawai dari agensi negeri dan Persekutuan serta ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) setempat.
Program yang bermula seawal jam 9 pagi tersebut dimulakan dengan lawatan ke Kampung Pertama bagi menyerahkan Bantuan Projek Baiki Rumah kepada Maruhan Mohamed Ghazali sebelum ke sebuah projek di bawah kelolaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri di Kampung Besar.
Delegasi turut meninjau industri pembuatan sayur pucuk tradisi di Kubang Semang; meninjau aktiviti kelas sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di Bukit Indera Muda serta Pusat Giat MARA Permatang Pauh.
Di Pusat Giat MARA, Afif diberi peluang menunjukkan kemahiran menebar roti canai dan memasak spageti, disusuli lawatan ke bengkel automotif dan elektrik.
Program penutup dan jamuan rakyat yang berlangsung di Padang Temusu turut membeli peluang kepada Afif untuk beramah-mesra dengan masyarakat setempat sambil menyampaikan bantuan keperluan kepada golongan kurang berkemampuan terpilih.
Dalam pada itu, Maruhan Mohamed ketika ditemui menzahirkan rasa syukur berikutan permohonan beliau untuk membaiki bumbung rosak diluluskan.
“Alhamdulillah, bantuan untuk baiki kerosakan pada bumbung dapat kelulusan daripada Pejabat Daerah (SPT), boleh nak rasa selesalah dari panas dan hujan, terima kasih kepada semua yang terlibat juga,” ujar beliau sambil mengukir senyuman kegembiraan.