TELUK BAHANG – Program Jelajah Manfaat Rakyat diperkenalkan untuk menggerakkan masyarakat setempat menjadi sukarelawan bagi membantu golongan rentan yang memerlukan sokongan sosial.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata bahawa program tersebut adalah bertujuan menghubungkan sukarelawan dengan penerima bantuan yang memerlukan untuk mengurangkan beban mereka.
“Sejak tahun 2024, saya bersama dengan pasukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di lima daerah telah turun padang untuk melawat 26 keluarga yang merupakan penerima bantuan.
“Malah, menjelang perayaan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, saya telah berpeluang melawat lima buah keluarga di kawasan daerah Barat Daya (DBD).
“Adalah diharapkan agar bantuan yang disampaikan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan (penerima) dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri nanti,” jelasnya semasa sesi sidang media dekat sini baru-baru ini.
Hadir sama, Pegawai Penyelaras Khas Kepada Ketua Menteri, Gooi Seong Kin; Pegawai Kebajikan Masyarakat Barat Daya, Tham Weng Keat; Pegawai PPK Telok Bahang dan Ahmad Zaki Shah Shah Headan.
Turut serta, Pengerusi Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Teluk Bahang, Zuki Hasan; Pesuruhjaya Buddhist Tzu-Chi Merits Society Malaysia, Dato’ Khoo Boo Leong dan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Ooi Mei Mei serta barisan MPKK setempat.
Mengulas lanjut, Siew Khim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang juga menyatakan bahawa pelaksanaan Program Jelajah Manfaat Rakyat akan diperkukuh selepas mengambil kira keperluan golongan keluarga berpendapatan rendah (B40).
“Hari ini kita berkesempatan menyantuni saudara Zulkifli Mamat dan saudari L. Nalani, yang telah jatuh sakit dan memerlukan bantuan selayaknya.
“(Dan) sudah tentu sebagai Exco Kebajikan, saya telah menerajui Program Sukarelawan Mutiara yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri, yang mana perkhidmatan ini diberi secara percuma dan dipantau oleh saya dengan kerjasama JKM Negeri Pulau Pinang.
“Selain itu, peranan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Buddhist Tzu-Chi Merits Society Malaysia juga penting dalam memberikan latihan lapangan kepada sukarelawan.
“Justeru, saya berharap agar lebih ramai masyarakat akan turut serta dalam usaha ini agar kita dapat membentuk komuniti yang lebih prihatin dan saling membantu,” jelasnya lagi.
Serentak itu, Siew Khim turut berkesempatan melawat Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Teluk Bahang serta memberi sumbangan duit raya kepada pelatih dan petugas.
“PPDK Teluk Bahang telah berdepan masalah lokasi apabila kadar sewa dinaikkan dan perlu berpindah ke premis yang agak kecil.
“Sehubungan itu, pihak kami mungkin akan usahakan satu tempat yang lebih sesuai untuk keselesaan pelatih dan petugas.
Difahamkan, PPDK Teluk Bahang mula beroperasi pada 15 Mei 2006 di bangunan UMNO cawangan Teluk Bahang sebelum berpindah ke lokasi lain, dan kini mempunyai seramai 40 pelatih dan tujuh petugas.
Bagi sesiapa yang berminat untuk menyertai Sukarelawan Mutiara boleh mengisi borang melalui pautan, https://forms.gle/dGu1fcFQfKN7GfidA
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT