Program Jelajah Mega E-Invois 2025, perkukuh komitmen pendigitalan cukai

whatsapp image 2025 04 30 at 11.41.22

SEBERANG JAYA – Dalam memperluas jangkauan maklumat dan mendekatkan perkhidmatan kepada pembayar cukai, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Pulau Pinang mengambil langkah strategik menganjurkan Program Jelajah Mega E-Invois.

Pengarah Negeri Hasil Pulau Pinang, Nasruddin Mat Nasir berkata, inisiatif penganjuran program tersebut, mencerminkan tekad LHDN bukan sahaja untuk memperkukuh pelaksanaan sistem percukaian berasaskan pendigitalan bahkan mengangkat budaya perkhidmatan berpaksikan rakyat melalui pendekatan yang inklusif, progresif dan bersifat mendidik.

“Jelajah ini bukan sekadar satu program advokasi, malah ia menjadi wadah utama bagi memperjelas hala tuju pelaksanaan e-Invois kepada komuniti pembayar cukai secara terus serta memperkukuh kefahaman terhadap anjakan digital dalam sistem percukaian negara,” katanya sempena pelancaran perasmian program tersebut di Wisma HASiL Bukit Mertajam pada 29 April 2025.

Hadir sama, Pengarah Operasi Negeri Seksyen Audit Cukai Syarikat, Saharin Alias, Pengarah Operasi Negeri Seksyen Pematuhan Strategik, Mohd Razdhan Mohamed Isa; Pengarah Operasi Negeri Seksyen Khidmat Pelanggan merangkap Timbalan Pengerusi I Program Jelajah Mega e-Invois, Mohd Affendi Ayub dan Pengarah Operasi Negeri Seksyen Majikan dan e-Invois merangkap Timbalan Pengerusi II Program Jelajah Mega e-Invois, Asmunir Dahalan@Mokhtar.

Mengulas lanjut, Nasruddin menjelaskan bahawa program ini melibatkan penyertaan aktif seramai 40 pegawai HASiL bagi menjalankan sesi libat urus secara langsung di premis-premis perniagaan terpilih di sekitar Seberang Perai sebelum diperluaskan ke kawasan pulau dalam fasa seterusnya.

Jelas beliau lagi, program ini turut memberi penekanan kepada golongan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadi antara kumpulan sasaran utama dalam pelaksanaan sistem e-Invois.

“Melalui sesi jelajah ini, pihak kami akan memberikan taklimat komprehensif berkaitan platform My e-Invois yang merangkumi Portal MyInvois, Aplikasi MyInvois serta perkhidmatan My Invois e-POS bagi memudahkan urusan penyesuaian dan pematuhan pada peringkat pengguna,” katanya.

Mengenai pelaksanaan sistem e-Invois, Nasruddin memaklumkan bahawa pendekatan berfasa telah dirangka secara menyeluruh, selaras dengan pengumuman rasmi oleh Kementerian Kewangan.

“Fasa ketiga akan bermula pada 1 Julai 2025 melibatkan entiti yang merekodkan pendapatan tahunan antara RM500,000 hingga RM25 juta.

“Seterusnya, fasa keempat akan bermula pada 1 Januari 2026 bagi pembayar cukai yang mempunyai jualan tahunan di bawah RM500,000,” ujarnya.

Langkah berstruktur ini, menurut beliau bukan sahaja membolehkan pembayar cukai membuat persediaan yang sewajarnya, malah menyokong matlamat pendigitalan yang lebih menyeluruh dalam pengurusan hasil negara.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa usaha kesedaran akan diperkasa menerusi penganjuran taklimat pelaksanaan e-Invois yang dijadualkan berlangsung pada hari ini, 30 April 2025 sebagai salah satu medium penyampaian maklumat yang bersifat interaktif.

“Di samping itu, kaunter khidmat nasihat e-Invois akan diwujudkan secara berterusan di setiap pejabat HASiL negeri sebagai saluran rasmi bantuan teknikal dan maklumat kepada pembayar cukai,” tambahnya lagi.

Pada masa sama, Nasruddin turut melahirkan keyakinan bahawa kerjasama erat antara LHDN dengan agensi kerajaan, pihak swasta, komuniti setempat dan sokongan media mampu merealisasikan pelaksanaan e-Invois sebagai satu kejayaan kolektif yang memberi manfaat dalam jangka panjang.

“Seterusnya, program ini mampu memperkukuh komitmen LHDN dalam memacu reformasi percukaian digital, selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani untuk membina ekosistem ekonomi digital negara yang mampan, tangkas dan berdaya saing,” katanya.

whatsapp image 2025 04 29 at 6.12.38 pm
ACARA Flag Off oleh LHDNM di Wisma Hasil menandakan permulaan konvoi rasmi pelaksanaan E-Invois di Malaysia.

Oleh : NUR BATRISYIA IDRUS
Gambar : LHDN