PULAU BETONG – Program Jelajah Tani 2024 anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Incorporated memberi peluang kepada kerajaan untuk merapatkan hubungan silaturahim dengan petani dan usahawan industri asas tani.
Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berkata, melalui program jelajah ini, pelbagai aktiviti dan acara termasuk gerai jualan diadakan yang bertujuan mempromosikan industri asas tani kepada masyarakat setempat.
Program ini sangat bermakna dan saya sangat gembira kerana diberi peluang untuk bersama-sama usahawan tani yang telah berjaya memberi sumbangan dalam meningkatkan pengeluaran makanan berasaskan tanaman sekali gus menyumbang terhadap keterjaminan makanan di negeri ini.
“Program ini juga merupakan platform untuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan agensi di bawahnya untuk berjumpa dengan para petani, penternak dan nelayan bagi memantau peruntukan yang diberikan serta projek-projek yang dijalankan sepanjang tahun,” ujarnya sempena Program Jelajah Tani 2024 yang diadakan di Kampung Perlis pada 10 November 2024.
Menurut Fahmi, sektor agromakanan merupakan antara sektor terpenting bagi meningkatkan pendapatan rakyat dan pada masa sama menggalakkan pertumbuhan ekonomi.
Kerajaan pada hari ini amat prihatin tentang keselamatan makanan (food security) kerana ia merangkumi tanggungjawab kerajaan agar rakyat mendapat makanan yang cukup, selamat dan mudah diakses.
“Selain itu, kita (Kerajaan Negeri) melihat bahawa melalui penggunaan sumber-sumber sedia ada yang optimum dalam pengurusan rantaian bekalan yang cekap dapat meningkatkan nilai tambah produk akhir.
“Malah, ia mampu menembusi pasaran yang lebih baik bagi menghasilkan pendapatan yang cukup lumayan kepada pengusaha dan memberi pulangan yang baik.
“Di samping itu, program ini juga dapat membantu memudah cara bagi para petani, penternak dan nelayan untuk memohon bantuan misalnya melalui Jabatan Pertanian yang banyak memberi bimbingan kepada usahawan industri asas tani tempatan,” jelasnya.
Bercakap mengenai pemilihan daerah Barat Daya dan Timur Laut pada penganjuran kali ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak itu memaklumkan bahawa ia sebagai salah satu kaedah untuk mengetengahkan pertanian kepada penduduk khususnya anak muda dalam memperoleh pendapatan lumayan.
Selain sesi libat urus bersama-sama petani, penternak dan nelayan setempat, pelbagai aktiviti dan acara turut diadakan antaranya pemberian bantuan, sukan rakyat, sukaneka untuk kanak-kanak,jualan barangan runcit, jualan produk makanan basah dan kering dari pengusaha tempatan, pameran serta kaunter penerangan daripada agensi kerajaan terlibat.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : PEJABAT EXCO