Program Kampung Ku/Komuniti Ku Bersih & Hijau dilancar

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

PARA Pengerusi JKKK bergambar kenang-kenangan bersama Rosli Hassan (tiga dari kiri) dan Chew Eng Seng (kanan sekali) pada penganjuran Program Kampung Ku/Komuniti Ku Bersih & Hijau di Penaga di sini baru-baru ini.
PARA Pengerusi JKKK bergambar kenang-kenangan bersama Rosli Hassan (tiga dari kiri) dan Chew Eng Seng (kanan sekali) pada penganjuran Program Kampung Ku/Komuniti Ku Bersih & Hijau di Penaga di sini baru-baru ini.

PENAGA – Dalam merealisasikan insiatif Pulau Pinang Bersih dan Hijau, Penang Green Council Strategies
Sdn. Bhd. (PGC) dengan kerjasama Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Komuniti (JKKK) telah menganjurkan Projek Kampung Ku /Komuniti Ku Bersih dan Hijau di sini baru-baru ini.

Menurut pegawai Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Chew Eng Seng yang hadir memberi taklimat program berkenaan di sini, menyatakan bahawa MPSP kini giat menjalankan program-program pendidikan dalam memberi kesedaran kepada orang awam tentang kepentingan dan kelebihan Konsep 3R
iaitu Reduce (Kurangkan), Reuse (Guna Semula) dan Recycle (Kitar Semula).

“Projek ini akan dilaksanakan di semua kawasan JKKK di seluruh Pulau Pinang secara berfasa dan berkala supaya orang awam sedar akan kepentingan 3R ini,” ujar Eng Seng pada penganjuran Program Kampung Ku/Komuniti Ku Bersih & Hijau di sini baru-baru ini.

Selain Eng Seng, turut sama memberi taklimat adalah Pengerusi JKKK Alma, Bukit Minyak, Mustafa Ariffin yang turut menegaskan bahawa perubahan sikap masyarakat dalam menjaga alam sekitar amatlah dituntut.

Malah, menurut beliau lagi, perubahan sikap tersebut perlu dididik melalui program-program kesedaran dan gotong-royong melibatkan kawasan setempat.

“Didikan akan mengambil masa yang panjang, tetapi, ianya (pendekatan pendidikan) perlu dalam tempoh jangka masa panjang kerana alam sekitar ini adalah pinjaman kepada manusia untuk memelihara dan memuliharanya,” tambah beliau.

Dalam pada itu, pada program tersebut juga, PGC akan memastikan wujudnya pusat sumber alam sekitar bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini yang bertujuan menggalakkan orang awam mengamalkan konsep 3R selain membantu masyarakat setempat mengenali bahan buangan domestik boleh dikitar semula.

Hadir sama, Pegawai Eksekutif Program Kampung Ku/Komuniti Ku Bersih & Hijau, Rosli Hassan Pengerusi JKKK Penaga, Hussain Mat Isa; Pengerusi JKKK Pasir Gebu, Ridwan Osman dan Pengerusi JKKK Permatang Janggus, Abdullah Talib.