Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD
JAWI – Program Keceriaan Bandar anjuran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dengan kerjasama syarikat Guppy Plastic Industries Sdn. Bhd. (Guppy) diteruskan dengan mensasarkan penyertaan premispremis perniagaan di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jawi di sini baru- baru ini.
Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh Guppy tersebut telah dimulakan sejak bulan Mac 2012 bagi mengindah dan menceriakan kawasan-kawasan bandar di sekitar Seberang Perai.
Ahli DUNnya, Soon Lip Chee berkata, program tersebut diteruskan memandangkan sambutan daripada pemilik premis perniagaan di sini adalah amat menggalakkan.
“Atas permintaan banyak pihak, program keceriaan bandar ini diteruskan dan pada hari ini, MPSP bersama-sama Guppy akan menyerahkan pasu bunga beserta pokok kepada 150 buah premis lain.
“Diharapkan pemilik premis perniagaan berkenaan akan menjaga dengan baik pasu dan pokok yang disumbangkan dan menjadikan bandar Jawi lebih hijau dan indah,” katanya pada Program Keceriaan Bandar di sini baru-baru ini.
Tambah Lip Chee, inisiatif yang diambil Guppy terbabit wajar dijadikan contoh syarikat-syarikat lain bagi membantu Kerajaan Negeri mencapai visinya.
Hadir sama, Pengurus Kanan Pentadbiran Guppy, Rohani Basiri dan dua ahli majlis MPSP, H’ng Mooi Lye dan Loh Joo Huat.
Menurut Rohani, pihak Guppy telah menyediakan 230 pasu bunga yang dihasilkan daripada bahan kitar semula untuk diedarkan di sekitar Jawi sebagai langkah berterusan menjaga kehijauan di sini.
“Pihak Guppy akan bersama-sama MPSP memantau pasu dan pokok yang disumbangkan dari semasa ke semasa bagi memastikan matlamat keceriaan dapat dicapai.
“Sekiranya terdapat kerosakan pada pasu dan pokok, pihak Guppy akan menggantikannya dengan yang baru dan berharap pemilik premis dapat menjaganya dengan baik,” seru beliau.
Rohani menambah, program berkenaan akan diteruskan pada masa akan datang dan pihak Guppy sentiasa menyokong penuh usaha Kerajaan Negeri dalam menjaga alam sekitar di negeri ini.
Sehingga kini, Guppy telah mengedarkan sebanyak 2,800 pasu beserta pokok termasuk kepada 86 buah sekolah di bawah Program Sekolah Hijau.