Program Khatan Perdana wajar dijadikan acara di peringkat komuniti – Ketua Menteri

Admin

JAWI – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyarankan agar Program Khatan Perdana yang dianjurkan di peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) dijadikan sebagai acara komuniti pada masa akan datang.

Beliau berkata, program tersebut yang kini semakin mendapat sambutan mampu menjadi platform untuk memupuk semangat perpaduan dan jalinan silaturahim dalam kalangan masyarakat.

“Upacara ini dahulunya hanya dijalankan di peringkat isi rumah atau keluarga sahaja tetapi kini sudah menjadi program komuniti yang diadakan secara beramai-ramai.

“Selain memupuk perpaduan, program ini juga membolehkan agensi-agensi kerajaan dan wakil-wakil rakyat setempat menyediakan satu plaftorm supaya komuniti boleh berkumpul serta menjalankan aktiviti secara bersama-sama.

“Penganjuran program ini perlu digalakkan selari dengan usaha Kerajaan Negeri untuk memperkasakan komuniti khususnya dalam arus pembangunan negeri, dan saya yakin acara ini akan dianjurkan lebih kerap pada masa akan datang,” katanya ketika hadir memeriahkan Program Khatan Perdana KADUN Jawi dekat Dewan Serbaguna Jawi, Sungai Jawi di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli Parlimen Nibong Tebal merangkap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye; Imam Utama Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, Mohd. Syabani Awang serta ramai lagi.

Sementara itu, Fadhlina berkata bahawa program khatan perdana wajar diteruskan pada setiap kali cuti persekolahan kerana ia semakin mendapat sokongan daripada masyarakat.

“Kita lihat semua agensi kerajaan seperti bomba (Bomba dan Penyelamat), pasukan kesihatan dan ahli majlis turut turun memberikan sokongan, dan saya percaya program ini wajar diteruskan oleh semua pihak,” katanya.

Terdahulu, Kon Yeow serta tetamu jemputan yang hadir berarak mengiringi kira-kira 100 kanak-kanak dari KADUN Jawi, Sungai Bakap dan Sungai Acheh yang mengambil bahagian dalam program tersebut masuk ke dewan.

Kanak-kanak yang terlibat turut dimandikan dengan menggunakan pancuran pili bomba sebelum mereka melalui proses berkhatan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS