Program kitar semula manfaatkan penduduk

Oleh : NORSHAHIDA YUSOF

SALLEH Man memukul gong simbolik perasmian Program Komuniti Kemasyarakatan sambil diperhatikan Iszuree Ibrahim (dua dari kiri) dan Asnah Hashim (tiga dari kiri).
SALLEH Man memukul gong simbolik perasmian
Program Komuniti Kemasyarakatan sambil
diperhatikan Iszuree Ibrahim (dua dari kiri) dan
Asnah Hashim (tiga dari kiri).

TELUK KUMBAR – Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Sungai Batu digesa memainkan peranan dalam menggalakkan penduduk setempat mengitar semula barangan buangan seperti botol, kertas dan plastik bagi mengurangkan buangan sisa pepejal.

Saranan tersebut disuarakan oleh Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Iszuree Ibrahim di dalam ucapannya sempena Program Komuniti Kemasyarakatan di bawah ‘Local Agenda 21 MPPP’ baru-baru ini.

Iszuree berkata, program komuniti julung kali tersebut dianjurkan oleh Jabatan Rekreasi dan Pelancongan MPPP bagi menjalinkan kerjasama dan hubungan erat kemasyarakatan yang turut melibatkan Kerajaan Negeri, agensi swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Pendekatan ini ialah sebahagian program kesedaran dan pendidikan untuk menjaga kebersihan. Mewujudkan mekanisme sistem pemantauan kebersihan dan mengitar semula.

Melalui program seumpama ini, wujudnya semangat perpaduan dan tolong-menolong agar isu-isu semasa seperti alam sekitar dapat diatasi secara muafakat,’’ katanya pada majlis pelancaran Program Komuniti Kemasyarakatan, di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, program tersebut dapat memberi faedah dan manfaat kepada penduduk serta JKKK apabila hasil jualan bahan kitar semula dapat digunakan untuk melakukan pelbagai aktiviti setempat.

“Diharap penduduk setempat dapat melaksanakan usaha kitar semula ini secepat mungkin bagi mengurangkan sisa pepejal. Pusat kitar semula ini akan menjadi sebuah pusat sehenti yang mana bahan kitar semula akan dipungut oleh kontraktor yang telah dilantik,” ujarnya.

Turut diadakan adalah pameran alam sekitar, kitar semula dan pengurangan beg plastik, kempen penanaman pokok teduhan ‘Tecoma’, pemberian beg kitar semula dan pertandingan “Rumah Ku Bersih dan Hijau’.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Datuk Salleh Man, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas, Asnah Hashim.