SEBERANG PERAI – Program Kitar Semula Tadika yang mendekati kanak-kanak pra-sekolah berhubung amalan kitar semula memperoleh respon positif daripada pihak-pihak berkenaan yang inginkan pendedahan sedemikian didedahkan pada peringkat awal kepada generasi muda kini.
Sehingga kini, sebanyak lima hingga 10 buah tadika telah bersetuju menyertai program berkenaan yang bertujuan mendidik dan mengasuh kanak-kanak pada peringkat awal bagi mewujudkan perasaan cintai dunia dengan amalan kitar semula dan mengurangkan sisa pembuangan sampah di dalam kehidupan seharian.
Menurut Ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) merangkap Pengerusi LA21, Soon Lip Chee, pendekatan sedari pra-sekolah amat penting dan harus diterapkan agar kanak-kanak dapat diasuh sejak kecil untuk mengamalkan kitar semula dan mengurangkan sisa pembuangan sampah.
“Dasar Kerajaan Negeri ke arah ‘Cleaner, Greaner Penang’ seharusnya tidak sekadar menjadi slogan semata-mata tetapi seharusnya seluruh warga penduduk Pulau Pinang tidak mengira usia mengamalkan nilai murni untuk cintakan alam sekitar.” ujarnya di sini baru-baru ini.
Yang Dipertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif. telah merasmikan Program Kitar Semula Tadika bertempat di Auditarium MPSP baru-baru ini. Program di bawah Jawatankuasa LA21 ini giat dijalankan dengan kerjasama di antara MPSP dan Green City Technology Sdn. Bhd..
Pada 2009, program seperti ini telah dijalankan di sekolah rendah sekitar Seberang Perai dengan menggunakan pendekatan ‘buku bank kitar semula’ berkonsepkan tukar dan tebus. Sambutan yang menggalakkan mendorong MPSP kini sekali lagi mengambil inisiatif mendekati bidang pendidikan pra-sekolah ke arah kitar semula.