PROGRAM latihan dalam talian menjadi satu-satunya alternatif buat para jurulatih bagi memastikan atlet masing-masing kekal cergas pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020.
Jurulatih separuh masa pasukan wushu Pulau Pinang, CHONG MIN FEI, 45, berkata buat masa ini kesemua 20 atlet sukan wushu negeri menjalani latihan dalam talian secara sendirian.
“Meskipun tidak begitu efektif di atas beberapa kekangan ketika menjalani latihan di rumah, tetapi hanya itu sahaja cara yang ada untuk mengekalkan kecergasan mereka.
“Kaedah yang digunakan perlu bersesuaian mengikut tahap kecergasan dan kemampuan setiap atlet,” ujarnya ketika ditemu bual sebentar tadi.
Tidak dinafikan cabaran yang timbul sedikit sebanyak menurunkan keyakinan para atlet, malah ada di antaranya memutuskan untuk berhenti daripada arena sukan kombat tersebut.
“Kecergasan melakukan latihan di rumah tidak setanding stamina ketika melakukan latihan fizikal sebenar di pusat latihan kerana di rumah kekurangan alatan, kawasan yang terhad dan lantai untuk melakukan latihan tidak bersesuaian.
“Dalam tempoh panjang, ia sedikit sebanyak memberi kesan terhadap tahap psikologi atlet, jadi di sini pelbagai kaedah perlu disesuaikan untuk mereka terus berlatih,” jelas beliau yang telah berkecimpung sebagai jurulatih separuh masa Pulau Pinang sejak tahun 2012.
Anak kelahiran Gertak Sanggul, Bayan lepas ini mempunyai pengalaman sebagai jurulatih kebangsaan pada tahun 2009 dan jurulatih wushu negeri Kedah selama 10 tahun (1999 hingga 2008), malah Min Fei juga sering dijemput mengadili pertandingan wushu di peringkat antarabangsa seperti Sukan SEA di Thailand pada tahun 2007 dan Asian Junior di Singapura (2005).
Berbekalkan pengalaman yang ada, beliau dan tiga pelatih pasukan wushu yang lain akan menyediakan menu latihan sebanyak tiga kali seminggu kepada para atlet wushu yang berusia dalam linkungan 11 hingga 18 tahun.
“Berdasarkan menu yang disediakan, atlet dikehendaki menjalani latihan dan video tersebut dihantar kepada saya untuk melihat stamina dan corak gerak mereka adakah betul ataupun tidak,” jelasnya.
Sementara itu menurut Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), HARRY CHAI HENG HUA, latihan melalui platform online untuk atlet sukan kombat sukar dilakukan memandangkan bidang sukan tersebut seperti silat, karate, gusti, judo, wushu dan lain-lain memerlukan latihan fizikal sepenuhnya.
“Kebiasaannya tahap keyakinan atlet sememangnya merudum, tidak sama seperti melakukan latihan fizikal di sini di mana mereka fokus sepenuhnya.
“Justeru, bagi mengatasi masalah ini daripada berterusan, MSNPP mengambil inisiatif mengadakan sesi motivasi secara online khas untuk semua atlet SUKMA dan pembangunan negeri yang akan dikendalikan bertajuk potensi prestasi atlet berhadapan dengan wabak.
“Manakala, untuk para jurulatih, satu sesi sumbang saran (brainstorming) intensif diadakan bagi membantu mereka berhadapan dengan atlet ketika tempoh pandemik ini,” ujar beliau.
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : JOANNE FOONG CHEE YIN