Program Madani Rakyat Zon Utara 3 – 5 Mei, pelbagai tarikan menanti

whatsapp image 2024 04 24 at 17.22.11

PROGRAM Madani Rakyat (PMR) 2024 Peringkat Zon Utara anjuran Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama strategik Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bakal diadakan pada 3 hingga 5 Mei 2024 bertempat di Tapak Pesta Pulau Pinang, Sungai Nibong.

 

 

screenshot 2024 04 24 at 4.07.05 pm
AHMAD Jefry Aziz@Adan ketika bersiaran menerusi rancangan Nadi Seri Pagi Selamat Pagi Malaysia pada pagi ini.

Pengarah Eksekutif, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi, Ahmad Jefry Aziz @Adan ketika ditemu bual menerusi rancangan Nadi Seri Pagi Selamat Pagi Malaysia pada pagi ini berkata, PMR 2024 Zon Utara adalah adalah lanjutan program ‘Setahun Bersama Kerajaan Madani’ yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 5 hingga 8 Disember 2023.

 

“Susulan sambutan yang amat menggalakkan iaitu dengan kehadiran lebih 230,000 pengunjung maka, Y.A.B. Perdana Menteri meluahkan hasrat untuk meneruskan penganjuran serupa di semua negeri mengikut zon.

 

Program ini adalah ‘program perkhidmatan’ secara langsung untuk rakyat yang mana melalui penganjurannya, pelbagai kementerian, jabatan dan agensi dapat memaparkan inisiatif serta program yang telah dan akan dilaksanakan oleh pihak kerajaan kepada rakyat.

 

“Ini adalah penting kerana kita hendak memahamkan rakyat dan melalui pemahaman mengenai hala tuju yang diadakan sebegini (menerusi PMR 2024) maka keyakinan rakyat dapat dipupuk yang juga merupakan salah satu teras dalam Malaysia Madani,” ujarnya.

 

Walau bagaimanapun, menurut Ahmad Jefry, bagi penganjuran peringkat Zon Utara kali ini, bidang tumpuan agak sedikit berbeza.

 

“Jika di Zon Tengah, bidang tumpuan lebih kepada keterjaminan makanan tetapi di Zon Utara ini bidang tumpuan banyak antaranya kesejahteraan rakyat.

 

“Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dilantik untuk mengetuai bidang tumpuan ini yang mana rakyat boleh menyemak bentuk bantuan yang ditawarkan pada peringkat Persekutuan.

 

“Malah, bantuan yang ditawarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, Zakat Pulau Pinang dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) turut akan diadakan.

 

“Selain itu, bidang tumpuan seterusnya adalah STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional).

 

“Kedua-dua bidang tumpuan ini adalah seiring dengan gelaran Pulau Pinang sebagai ‘Lembah Silikon Asia’ yang menjadi tumpuan syarikat-syarikat di seluruh negara.

 

“Maka, ia diketengahkan supaya ibu bapa dapat memberi galakan kepada anak-anak untuk menceburi bidang di bawah STEM dan TVET ini,” jelasnya yang memaklumkan bahawa pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan turut serta di samping Penang Skills Development Centre (PSDC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

img 9273
HASIL tinjauan menunjukkan persiapan di lokasi giat dijalankan.

Selain itu, tambah Ahmad Jefry lagi, Karnival Kerjaya turut akan diadakan yang mana pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta syarikat-syarikat swasta akan mengambil bahagian.

 

“Sebanyak 2,000 peluang pekerjaan bakal ditawarkan dan lebih 30 peratus daripadanya adalah kemasukan segera.

 

“Jadi PMR 2024 ini merupakan platform utama untuk pihak kerajaan memaparkan inisiatif semasa kepada rakyat dan pada masa sama menjadi wadah untuk rakyat memberi maklum balas secara terus kepada kerajaan,” katanya.

 

Antara pengisian lain adalah berkaitan pertanian dan keterjaminan makanan; pengangkutan awam bersepadu; saringan kesihatan dan elektrokardiogram (ECG) oleh pihak Institut Jantung Negara (IJN); cabutan bertuah; Jualan Madani; diskaun bayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta lebih 190 perkhidmatan dari pelbagai perkhidmatan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan agensi-agensi berkaitan juga disediakan sepanjang penganjuran selama tiga hari itu.

 

screenshot 2024 04 24 at 4.29.48 pm
STIEN Van Lutam.

Dalam pada itu, Setiausaha Bahagian Pentadbiran, MOT merangkap Sekretariat Induk PMR Zon Utara), Stien Van Lutam memberitahu, selain daripada pameran daripada agensi di bawah Kementerian Pengangkutan, turut diadakan adalah demonstrasi menunggang motosikal secara selamat.

 

“Orang ramai juga boleh hadir untuk memperbaharui lesen selain hadir ke pameran berkaitan projek pengangkutan terkini di Pulau Pinang iaitu Projek LRT Pulau Pinang,” katanya yang turut serta dalam rancangan yang disiarkan secara langsung pagi tadi.

 

Difahamkan, MOT dilantik sebagai ‘kementerian peneraju’ dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai tuan rumah. Kerajaan Negeri Kedah dan Perlis juga turut terlibat dalam program terbabit.

 

screenshot 2024 04 24 at 4.35.09 pm
ABDUL Kahar Abdullah.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Abdul Kahar Abdullah sempat menzahirkan ucapan penghargaan kepada PACU kerana memilih Pulau Pinang untuk penganjuran PMR 2024 Zon Utara.

 

“Sebelum ini, pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempunyai beberapa cadangan lokasi penganjuran antaranya di Stadium Batu Kawan; Dewan Milenium di Kepala Batas dan Tapak Pesta Pulau Pinang di Sungai Nibong.

 

“Namun, kerana mengambil kira kemudahan sedia ada, maka Tapak Pesta Pulau Pinang dipilih (untuk mengadakan PMR 2024 Zon Utara),” jelasnya.

img 9263
TAPAK Pesta Pulau Pinang menjadi lokasi penganjuran bagi Zon Utara.

Beliau yang juga hadir dalam rancangan Nadi Seri Pagi Selamat Pagi Malaysia pada pagi ini, mempelawa seluruh rakyat Pulau Pinang khasnya untuk turut sama ke Tapak Pesta Pulau Pinang pada 3 hingga 5 Mei nanti.

 

“Majlis perasmian penutupan akan diadakan pada 5 Mei nanti yang juga disekalikan dengan majlis sambutan Aidilfitri bersama-sama pimpinan negeri dan Y.A.B. Perdana Menteri.

 

“Jadi ambil peluang ini, datang beramai-ramai kerana inilah peluang untuk mengetahui dan menikmati pelbagai kemudahan serta perkhidmatan yang disediakan oleh pihak kerajaan di satu tempat,” serunya.

madani
TANDAKAN kalendar anda, berbaki 9 hari lagi.

Selain perkhidmatan bas ulang alik percuma, perkhidmatan feri percuma dari Butterworth ke bahagian pulau dan perkhidmatan Komuter Utara (perjalanan sehala) ke Butterworth secara percuma disediakan kepada pengunjung yang ingin sama-sama hadir ke PMR 2024 Zon Utara.

 

Maklumat lanjut, layari www.malaysiamadani.gov.my.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN