GEORGE TOWN – Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menjalankan program ‘Outreach Vaksinasi COVID-19’ dengan menyasarkan kumpulan berisiko tinggi terutamanya warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Rafidah Md Noor memberitahu bahawa inisiatif tersebut dijalankan bagi memastikan sasaran seramai 400,000 golongan warga emas dan OKU di negeri ini menerima suntikan vaksin COVID-19.
“Kita adakan program ini (outreach vaksinasi) adalah untuk memfokuskan kumpulan warga emas yang mungkin mempunyai kesukaran untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV) awam dan kawasan yang berisiko tinggi berdasarkan penilaian oleh JKNPP.
“Sehingga kini, hampir 80 hingga 90 peratus warga emas telah menerima suntikan vaksin dan dalam perancangan kita seterusnya adalah untuk mengadakan ‘outreach’ kepada kumpulan OKU yang tinggal di institusi-institusi,” katanya kepada Buletin Mutiara pada program ‘Outreach Vaksinasi COVID-19’ di Dewan Jalan Padang Tembak, di sini.
Mengulas lanjut, Faridah menjelaskan bahawa seramai 180 warga emas di Daerah Timur Laut disasarkan menerima suntikan vaksin melalui program tersebut.
“Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut menyasarkan kira-kira 180 warga emas dan kumpulan berisiko tinggi diberi suntikan vaksinasi COVID-19 kerana kawasan ini merupakan kawasan ‘hotspot’,” jelasnya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Rafidah memberitahu bahawa JKNPP juga menyediakan kemudahan PPV unit bergerak untuk menjalankan vaksinasi kepada kumpulan warga emas yang tinggal di institusi-institusi.
“Jadi, boleh dikatakan di semua daerah memang ada kumpulan ‘outreach’ untuk menyantuni warga emas yang tinggal di institusi,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Buletin Mutiara juga berkesempatan menemu bual beberapa warga emas yang menerima suntikan vaksin melalui program tersebut.
NUR HANIS ABDULLAH, 65, berkata bahawa program ‘outreach’ yang dijalankan oleh JKNPP telah memudahkan warga emas mendapatkan vaksinasi tanpa perlu ke PPV awam.
“Sebelum ini, mereka (kumpulan outreach) pergi ke rumah dan membantu pendaftaran selepas mendapati saya dan suami layak menerima suntikan vaksin.
“Selepas daftar, mereka hubungi kami sehari selepas itu untuk menetapkan tarikh temujanji dan hari ini saya telah pun menerima suntikan vaksin,” katanya.
Nur Hanis berkata, dia dan suami sebelum ini tidak mendaftar sebagai penerima vaksin kerana terpengaruh dengan pelbagai kenyataan negatif berkaitan vaksinasi dan mula mengubah fikiran selepas mendapat penerangan yang tepat oleh kumpulan ‘outreach’ terbabit.
“Jadi, pada saya program ini sangat baik kerana dapat memberi nasihat dan penerangan yang lebih jelas berkaitan kepentingan vaksinasi terutamanya kepada golongan warga yang berisiko tinggi untuk dijangkiti COVID-19.
“Program ini juga sangat efektif dan memudahkan kami golongan warga emas kerana tidak perlu ke lokasi yang jauh untuk mendapatkan vaksinasi.
“Nasihat saya untuk mereka yang masih ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin, jangan takut dan risau kerana ia adalah selamat dan dapat lindungi kita daripada dijangkiti COVID-19,” katanya lagi.
Seorang lagi penerima, A. ALAHMEHLOO AMMAL, 67, memberitahu program tersebut ternyata memudahkan warga emas untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.
“Program ini diadakan dekat dengan rumah jadi kami tidak perlu pergi jauh dan tidak menunggu lama untuk dapatkan suntikan vaksin,” ujarnya ringkas.
MEON CHOONG TUCK, 68, pula meluahkan rasa lega kerana telah menerima suntikan pertama vaksin COVID-19 melalui program tersebut.
“Saya sudah mendaftar sejak dua bulan lalu untuk mendapatkan vaksin COVID-19 dan gembira apabila dapat panggilan untuk menerima suntikan pada hari ini.
“Oleh itu, saya nak ucapkan terima kasih kepada pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) kerana menjadikan proses suntikan juga sangat cepat dan lancar terutamanya untuk warga emas seperti kami,” katanya lagi.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR