JAWI – Penganjuran Program Pasar Percuma kini kembali setelah tiga tahun tertunda akibat krisis kesihatan pandemik COVID-19.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, H’ng Mooi Lye berkata, kali pertama program ini dianjurkan adalah pada Disember 2019 di Pasar Raya C-Mart Nibong Tebal.
Ketika itu, sambutan yang diterima amat menggalakkan terutama pakaian, barangan elektrik dan buku.
“Tahun ini, kita kembalikan semula program ini di sini dengan seleksi barangan terpakai mahupun baru untuk dipilih,” katanya ketika ditemui pada program berkaitan yang diadakan di Gelanggang Bola Keranjang Taman Bukit Panchor pada 12 Februari 2023.
Hadir menyempurnakan program, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal.
Turut serta, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Heng Yeh Shiuan dan Ngoh Cheng Hai; Presiden Seberang Perai Professional Entrepreneur Club (SPPEC) dan wakil daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) setempat serta jawatankuasa penganjur.
Mengulas lanjut, Mooi Lye memaklumkan bahawa matlamat penganjuran program ini adalah untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan di samping meringankan beban yang ditanggung mereka rentetan kos sara hidup yang semakin mancabar.
“Selain itu, mereka yang mempunyai barangan terpakai yang masih elok dan boleh digunakan juga boleh menyumbang untuk menjayakan program ini sekali gus membantu mereka yang memerlukan.
Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi juga sedia membantu dari segi menyediakan atau mendapatkan sumber untuk disumbangkan kepada orang ramai.
“Saya amat berterima kasih kepada semua termasuk para penderma yang terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO), syarikat perkilangan dan orang perseorangan yang banyak membantu dalam menjayakan program ini,” katanya.
Difahamkan, mereka yang hadir ke program tersebut dapat membuat pilihan dan mengambil sama ada buku, peralatan elektrik, pakaian atau lain-lain barangan secara percuma.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : ADUN